Sunday, September 25, 2022

Transformasi bandar sempadan Tebedu melalui bina semula Kompleks Pintar CIQS Tebedu — Abang Jo

Secara Rawak

TEBEDU: Bandar sempadan Tebedu akan bertukar wajah apabila pelan induk pembangunannya direalisasikan, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kerja-kerja transformasi akan bermula di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Tebedu, apabila pelan pembangunan lebih RM500 juta akan dilaksanakan.

“Ketika ini kita telah bersetuju untuk membiayai 50 peratus daripada projek bina semula kompleks pintar ini, manakala bakinya oleh Kerajaan Pusat.

“Kerjasama pintar ini membayangkan betapa pentingnya kawasan ini dibangunkan,” katanya pada sidang media sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke kompleks itu semalam.

Projek tersebut juga penting kerana pihak berkuasa Indonesia telah menaik taraf kemudahan kompleks imigresen di sempadan Entikong.

Ahmad Zahid semalam turut mengumumkan pembentukan jawatankuasa petugas khas yang dipengerusi bersama oleh beliau dan Abang Johari untuk merealisasikan projek ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad pula dipertanggungjawab mengetuai aspek teknikal dan mereka diberi tempoh 60 hari untuk menyiapkan kertas kerja projek tersebut, untuk dikemukakan kepada Kabinet dan Majlis Ekonomi Negara.

Abang Johari memberitahu, kompleks ini merupakan antara komponen utama dalam pelan induk pembangunan Tebedu.

“Pada asasnya, kita ingin  membangunkan Tebedu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi sempadan.

“Malah bandar ini akan dilengkapi dengan aspek keselamatan, bagi menangani isu-isu keselamatan di antara Indonesia dan Malaysia, khasnya Kalimantan Barat dan Sarawak.

Kompleks CIQS di Tebedu pula katanya, akan dijelmakan sebagai kompleks moden yang mempunyai semua infrastruktur terkini selain dapat memudahkan lagi perhubungan baik antara Indonesia dan Malaysia.

“Tentunya ia harus bersesuaian dengan fokus Sarawak untuk muncul sebagai sebuah kerajaan yang berteraskan ekonomi digital.

Yang jelas, bandar sempadan yang turut menempatkan pelabuhan darat yang moden ini kelak akan dapat dimanfaatkan oleh penduduk Tebedu, yang kini dihuni lebih 29 ribu penduduk.

Turut menerima limpahan hampir 155 ribu warga Serian dan 14 ribu penduduk Entikong. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru