Tuesday, May 11, 2021

Palestin bukan isu agama, tetapi lebih kepada isu kemanusiaan

Mesti baca

PENGUMUMAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis atau Jerusalem sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lepas pasti meningkatkan lagi ketegangan sedia ada di antara penduduk Palestin dan Israel.

Bagi Israel, pengisytiharan Trump ini menamatkan penantian 100 tahun sejak Pengisytiharan Balfour 1917 yang memberikan tanah hak milik warga Palestin kepada Yahudi zionis secara haram yang kemudiannya sehingga tertubuhnya negara Israel 1948.

Pengiktirafan ini seolah-olah memberi lampu hijau kepada Israel mengesahkan peperangan yang berlaku sekarang disebabkan oleh penduduk Palestin dan mereka berhak mempertahankan negara mereka daripada diceroboh.

Dunia Islam sama sekali tidak berpeluk tubuh membiarkan Palestin terus dicabul. Pelan damai yang dicadangkan untuk menyelesaikan konflik di tanah suci ini sering dilanggar oleh Israel, namun kali ini ia bakal menimbulkan kesan buruk yang lebih besar.

Presiden Turki Recep Tayyin Erdogan dengan tegas memberi amaran kepada AS dan Israel bahawa umat Islam mempertahankan Palestin dan akan mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin apabila diiktiraf merdeka oleh negara antarabangsa, sekali gus memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai salah satu pilihan.

Sokongan dunia jelas memihak kepada Palestin apabila sebanyak 128 negara menyokong resolusi Majlis Umum Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menolak pengiktirafan AS menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Umum mengetahui masalah sebenar di bumi anbiya’ ini adalah disebabkan oleh zionis dan bukannya penduduk Palestin.

Malah melalui sokongan dan dokongan AS, mereka sewenang-wenangnya menceroboh penempatan dan tanpa rasa bersalah membunuh penduduk Palestin tanpa mengira umur dan jantina.

Palestin bukan isu agama atau penduduk Palestin, tetapi ia menjadi isu kemanusiaan apabila nilai nyawa, kehormatan dan perdamaian tidak lagi diendahkan hanya semata-mata mengikut kepentingan satu pihak sahaja. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru