Friday, August 19, 2022

CAP gesa ibu bapa jimat cermat berbelanja beli keperluan sekolah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu berjimat cermat dengan perbelanjaan mereka ke atas keperluan sekolah, lebih-lebih lagi terutamanya dengan harga pakaian seragam sekolah semakin meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lepas sepertimana yang ditunjukkan oleh tinjauan kami di kedai dan pasar raya di Pulau Pinang.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M Mohamed Idris   berkata CAP amat prihatin bukan hanya mengenai peningkatan mendadak dalam harga pelbagai barangan keperluan sekolah,  tetapi juga bagaimana ibu bapa cenderung untuk memanjakan anak-anak mereka dengan membeli pakaian seragam baharu dan keperluan sekolah lain apabila sekolah dibuka semula.

“CAP berpendapat bahawa dengan wang yang dijimatkan, ia boleh digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting seperti menyediakan makanan yang lebih berkhasiat untuk keluarga, atau untuk membayar yuran sekolah, perpustakaan dan sukan. Kita tidak seharusnya lupa bahawa mungkin yuran tuisyen dan bas sekolah juga perlu dibayar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, ibu bapa yang ditemu bual  CAP pada umumnya bersetuju bahawa kenaikan harga membebankan terutama sekali bagi mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang masih bersekolah dan ini menyebabkan tekanan kepada mereka.

“Apabila membeli-belah keperluan barangan sekolah anak-anak, ia amat membebankan kewangan kami,” katanya.

Gambar fail

“Pakaian seragam sekolah bersama dengan beg, alat tulis dan kasut boleh mencapai RM200 dan ini tidak termasuk pakaian sukan, buku dan keperluan lain,” katanya lagi.

Tambahnya, andaikan peningkatan harga sebanyak 30 peratus, ibu bapa terpaksa membelanjakan tambahan RM45 bagi setiap anak berbanding dengan apa yang mereka belanjakan untuk barangan yang sama pada tahun lepas dan jumlah ini begitu besar kerana ia boleh mengurangkan belanjawan keluarga.

“Jumlah ini amat besar untuk dikeluarkan pada awal tahun terutama sekali apabila harga barangan ini semakin meningkat,” tambahnya.

Mohamed Idris berkata, memandangkan kebanyakan kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya dua pasang pakaian seragam untuk dipakai, kemungkinan pakaian seragam itu menjadi lusuh hingga hujung tahun amat kurang sekali.

“Ibu bapa tidak seharusnya mempunyai tanggapan bahawa semua keperluan mestilah baharu dan dibeli untuk permulaan sesi persekolahan baharu. Tanggapan ini merupakan satu bentuk pengaruh daripada komersialisasi,” katanya.

Ujarnya lagi, kanak-kanak juga perlu dididik untuk menghargai nilai wang dan untuk terus menggunakan barangan dan peralatan yang masih dalam keadaan yang baik dan sempurna.

Beliau juga berharap agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bekerjasama dengan ibu bapa untuk menghapuskan ‘budaya’ yang tidak sihat ini yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada ibu bapa dan pelajar yang tidak mampu.

Tambahan pula, katanya,  bukanlah pakaian seragam sekolah yang baharu akan menentukan kejayaan akademik pelajar dan inilah nilai yang perlu ditanam di dalam minda ibu bapa.

“Ia boleh menyebabkan jurang antara mereka yang ‘ada’ dan ‘tiada’,” tegasnya.

Katanya, CAP juga menggesa kerajaan supaya memeriksa dengan segera kualiti pakaian seragam yang terdapat di pasaran. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru