Tuesday, May 11, 2021

AS cop PBB Kelab Sosial, Israel cop PBB Rumah Penipuan

Mesti baca

SEPERTI bertindak membalas dendam atas tindakan dua pertiga negara dalam badan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyokong resolusi PBB menolak pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel, negara kuasa besar itu drastik memotong sumbangannya untuk bajet PBB.

Si unipola AS, turut marah kerana cita-citanya memindahkan kedutaan besarnya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis atau Jerusalem “terang tanpa bersuluh” dibantah secara majoriti oleh 128 negara dengan 35 berkecuali pada pengundian di PBB itu.

Presiden AS Donald Trump berselindung di sebalik alasan bahawa tujuan berbuat demikian adalah mahu menjadikan PBB lebih cekap, selain menjaga kepentingan AS.

Duta tetap AS ke PBB, Duta Nikki Haley mengeluarkan kenyataan AS memotong lebih AS$285 juta (RM1.2 bilion) bajetnya untuk sumbangan kepada PBB menerusi beberapa rundingan.

Betapapun, AS masih menyumbang dana yang sudah dikurangkan bagi tempoh 2018-2019 sebanyak AS$5.4 bilion (RM22 bilion).

Namun, Haley sempat menyindir bahawa “Kami (AS) tidak akan membiarkan kemurahan hati rakyat Amerika diambil kesempatan atau kekal tanpa sekatan,” kata Haley.

Beliau membayangkan pada rundingan akan datang AS “terus mencari jalan meningkatkan kecekapan PBB” dan terus melindungi kepentingan AS.

Kecekapan PBB mungkin merujuk kepada cara PBB bertindak di seluruh dunia serta menganggap wang yang dilaburkan di dalam PBB berbaloi untuk menjaga keperluan dan kehendak AS dan rakyatnya.

Mungkin terlalu liar untuk mengatakan AS bukannya peduli sangat tentang keharmonian negara atau bangsa lain di dunia ini.

Wang AS bukanlah segala-galanya mencatur kepentingan negara lain, tetapi PBB pernah diramalkan bankrap jika kuasa besar seperti AS tidak mempedulinya!

Grafik Mondoweiss

Dan kalau kesimpulan itu menjadi pertaruhan, maka PBB pada abad depan sepatutnya “mengalih” arah, tatatindaknya, mekanisme geraknya, termasuk “tari” dan “rentak lagunya” mempedulikan isu besar dunia.

Salah Guna Kuasa Veto Yang Tidak Demokratik

Bibit-bibit jelas PBB khususnya selepas AS menggunakan kuasa veto pada Majlis Keselamatan menjadikan resolusi menafikan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel menjadikan keputusan 14-1 terbatal.

Begitu mudahnya!

Keputusan ini sangat paradoks melawan semangat demokrasi, kerana 14 menyokong dianggap kalah oleh satu kuasa yang dianggap besar dan berkuasa “memveto”.

Tendangan maut kuasa veto dalam “permainan PBB” bukanlah baharu, kerana sifat penubuhan PBB sudah ditentukan sedemikian dengan terdapat lima negara berkuasa veto iaitu AS, Rusia, China, Britain dan Perancis.

Sepanjang sejarah di PBB AS sudah menggunakan banyak kali kuasa veto khususnya 43 kali sahaja digunakan untuk menentang resolusi yang merugikan Israel di Asia Barat.

Banyak resolusi PBB menentang Israel sengaja diveto pelindungnya AS sehingga rejim Yahudi itu tidak pernah berasa gentar membantai wanita, anak-anak serta harta benda milik rakyat Palestin.

Bercakap tentang kuasa veto, Rusia merupakan negara paling banyak menggunakan kuasa veto di PBB.

Pada 2015, Malaysia sendiri pernah terkesan menerima veto Rusia menghalang cadangan menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa menyiasat kejadian menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines di wilayah timur Ukraine mengorbankan 298 nyawa termasuk 43 warga Malaysia.

Bayangkan, dalam situasi dunia hari ini jika Israel ditakdirkan turut membarisi negara yang memiliki kuasa veto!

Veto kebanyakannya laku di Majlis Keselamatan PBB, tetapi di Majlis Umum yang dianggotai 193 negara, di situ suara sejati dunia dapat dibaca.

Dan AS kalah undi pada Majlis Umum PBB berkaitan sokongannya ke atas kepentingan Israel itu apabila hanya ada tujuh negara daripada 193 anggota menyokong AS-Israel berkaitan isu kontroversi itu.

Marahkan PBB, AS sanggup meludah PBB mengatakan badan dunia itu kini berfungsi seperti sebuah “kelab sosial” semata-mata dan dijadikan “pelantar” meluah retorik anti-Amerika dengan keputusan memudaratkan kepentingan AS akhirnya.

Israel Percaya Veto AS, Tapi Tidak Percaya Anggota PBB Menolaknya

Israel yang sebelum ini yakin banyak negara menyokongnya berkaitan isu Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, sempat mengucapkan terima kasih kepada “Uncle Sam” kerana memveto di PBB.

Dalam hal ini, percaya pula si Perdana Menteri  Israel Benjamin Netanyahu dengan PBB.

Ketika jelas dua pertiga dunia tidak menyokong “permainan” AS-Israel ini, mereka menjerit menuduh PBB tempat “kelab sosial” atau berfungsi seperti “Rumah Penipuan”.

AS seperti menekan dan memaksa negara lain menerima idea dan plannya untuk global tidak ketinggalan perancangannya di Asia Barat.

Turki, Malaysia dan Indonesia betah mempedulikan sama ada AS menyekat bantuan kewangannya ataupun tidak kerana tidak mahu “berjual beli” dalam isu keadilan Palestin khususnya berkaitan tapak suci Islam di Timur Baitulmaqdis.

Bagaimanapun, sarjana AS dan pakar lain memberi amaran kepada pentadbiran AS bahawa taktik paksaan yang mereka gunakan kini boleh menjejaskan kepentingan jangka panjang AS.

Menurut mereka, dunia tidak hanya akan patuh atau tunduk kepada Amerika kerana pengaruh kewangannya.

Washington merupakan penyumbang terbesar bajet PBB, iaitu 22 peratus yang berdasarkan kuasa ekonominya seperti takrifan Piagam PBB. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru