Beberapa hari lalu, saya ditanya oleh seorang anak muda dengan satu soalan yang agak menarik dan telah lama bermain di fikiran saya sendiri,  “di mana kedudukan orang muda dalam arena politik Malaysia?”

Jika dilihat kepada senarai pengundi berdaftar yang dikeluarkan oleh pihak SPR, jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia sehingga 30 Jun 2017 ialah sebanyak 14,513,463 orang.

Daripada jumlah itu, 61.28 peratus (8,894,281 orang) merupakan kumpulan pengundi yang berusia 49 tahun dan ke bawah, selebihnya iaitu 38.72 peratus (5,619,182 orang) ialah mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas.

Sekiranya had umur 49 tahun dan ke bawah digunakan untuk merujuk kepada golongan muda, jelas sekali bahawa tiga per empat daripada pengundi di negara ini terdiri daripada orang muda. Itu belum lagi diambil kira seramai 3.9 juta warga Malaysia yang telah melepasi usia 21 tahun tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Daripada 14 negeri di Malaysia,  sebanyak 6 buah negeri mempunyai peratusan pengundi muda yang melebihi melebihi purata peratusan pada peringkat nasional, iaitu  Kedah (62 peratus), Kelantan (68 peratus), Pahang (64 peratus), Selangor (63 peratus), Melaka (63 peratus) dan Sabah (64 peratus).

Walaupun peratusan pengundi muda amat tinggi, tetapi dari segi perwakilan sebenarnya peratusan mereka adalah amat kecil. Sebagai contoh, daripada 222 ahli parlimen yang ada sekarang, hanya 47 orang atau 21.2 peratus sahaja yang berusia 49 tahun dan ke bawah.

Di pihak kerajaan, ahli parlimen yang berada dalam kategori tersebut hanyalah sepuluh orang sahaja dan mereka ialah Reezal Merican Naiena Merican (45), Irmohizam Hj. Ibrahim (44), Khairy Jamaluddin (41), Mas Ermieyati Samsudin (41), Anuar Manap (41), Chua Tee Yong (39), Razali Ibrahim (46), Noraini Ahmad (49), Rosnah Abd Rashid Shirlin (44), Raime Unggi (47).

Sementara itu, sebanyak 37 ahli parlimen lagi berada di barisan pembangkang. Antaranya yang agak terkenal ialah seperti jatuh dalam kategori itu ialah Zairil Khir Johari (35), Nik Mohamad Abduh (47), Mohd Khairuddin Aman Razali (44), Sim Chee Keong (35), Kasthuriraani a/p Patto (36), Ramkarpal a/l Karpal Singh (41), Sim Tze Tzin (41), Nga Khor Ming (46), Sivakumar a/l Varatharaju Naidu (46), Nasarudin Hassan (45), Nurul Izzah Anwar (36), Mohd Rafizi Ramli (40), Gobind Singh Deo (44), Wong Chen (48), Tony Pua (45), Ong Kian Ming (42), Loke Siew Fook (41), G. Manivannan (38), Shamsul Iskandar (43), Ignatius Dorell Leiking (45) dan Chong Chieng Jen (46).

Kenapa wujud jurang yang begitu besar dari segi perwakilan di antara golongan muda dan yang berusia 50 tahun dan ke atas?

Lazimnya dalam sistem politik yang mengutamakan proses elektoral, parti politik adalah satu-satunya organisasi yang terlibat secara langsung dalam proses meletakkan calon dalam sesuatu pilihan raya. Di negara barat, parti politik tidak distruktur mengikut umur, di bahagikan mengikut sayap, gender dan sebagainya. Sesiapa sahaja yang mempunyai idea dan visi kepimpinan boleh menawarkan apa sahaja jawatan dalam parti.

Di Malaysia, struktur parti politik boleh dikatakan hampir sama walaupun ideologi mereka berbeda di mana pembahagian mengikut umur dan gender amat diutamakan. Boleh dikatakan semua parti mempunyai sayap pemuda, bezanya hanya pada nama. Ada yang menggelarkan sebagai pemuda (UMNO, PAS, Amanah), angkatan muda, armada dan sebagainya.

Bila parti politik mengumpulkan orang muda dalam struktur sedemikian, secara tidak langsung peluang orang muda untuk merasa dilantik menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Bahagian dan Pengerusi Perhubungan tertutup rapat.

Walaupun mempunyai idea dan kebolehan, golongan muda terpaksa menghabiskan usia muda mereka dalam cabang  yang dikhaskan untuk kelompok mereka sahaja, iaitu sayap pemuda. Jawatan paling tinggi dalam parti untuk mereka hanya Ketua Pemuda, tidak lebih daripada itu.

Dari segi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, mereka terpaksa bersaing pula dengan ‘sayap’ yang lain seperti puteri, wanita, ketua-ketua bahagian dan AJK bahagian. Sekiranya mereka menjadi ahli parlimen berwibawa sekalipun, peluang mereka untuk diangkat sebagai pemimpin utama parti pada usia muda amat terhad.

Akhirnya, selagi struktur parti yang ada tidak melakukan proses transformasi dalaman, kita tidak mungkin melihat orang-orang yang seusia dengan  Emmanuel Macron, Justin Trudeau, Tony Blair, Bill Clinton dan John F. Kennedy dinobatkan sebagai pemimpin di Malaysia. – Sarawakvoice