Thursday, September 29, 2022

Tuntut hak Perjanjian Malaysia: Sabah, Sarawak perlu senada seirama, kata Timbalan Speaker Sabah

Secara Rawak

KUCHING: Pemimpin dan rakyat Sabah perlu bersuara senada seirama dengan Sarawak agar suara mereka lebih kuat dalam menuntut hak dan autonomi di bawah Perjanjian Malaysia (MA) 1963.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Johnny Mositun berkata, ketika ini pemimpin Sarawak, khususnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari dan pemimpin parti politik lain seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah mengambil daya usaha menuntut hak berkenaan.

“Kita hanya meminta kerajaan persekutuan mengembalikan hak yang telah terambil atau tidak tertunai sepanjang 54 lalu yang sememangnya menjadi hak kita,” katanya sambil menegaskan bahawa perkara itu perlu ditunaikan bagi memastikan masa depan Malaysia yang lebih stabil, makmur dan bersatu.

Beliau merujuk secara khusus betapa pentingnya bagi kerajaan persekutuan  terus menyalurkan lebih banyak peruntukan ke Sabah dan Sarawak bagi memastikan wujudnya keseimbangan pembangunan antara kedua-dua negeri itu dengan Semenanjung.

Datuk Johnny Mositun

Selain itu, Johnny yang ditemui selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tritahunan SUPP di sini baru-baru ini menegaskan pentingnya lebih banyak jawatan penting  di kementerian dan jabatan persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberi kepada pegawai dari Sabah yang layak dan berpengalaman.

Beliau mengakui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berusaha untuk memastikan hak tersebut dikembalikan, berbanding dengan Perdana Menteri sebelumnya.

“Kalau dahulu di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ada pemimpin dijaringkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 jika mereka menyuarakan hak berkenaan,” tegasnya merujuk kepada nasib yang menimpa Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan pemimpin Sabah yang lain.

Sementara itu, beliau menyarankan supaya lebih banyak peristiwa penting berkaitan sejarah Sabah dan Sarawak, terutama tentang pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia dimasukkan ke dalam buku teks sejarah di pelbagai peringkat persekolahan.

“Ini bagi memastikan generasi masa depan benar-benar memahami sejarah berkaitan dalam memantapkan pembinaan negara bangsa dan negara yang memiliki jati diri,” kata pemimpin yang semakin menyerlah di Sabah itu.

“Sejarah penting untuk lakarkan hala tuju kita dan bagi memastikan generasi masa depan tidak mengulangi kesilapan lalu. Sejarah umpama cermin untuk mengingatkan diri kita. Sejarah sentiasa memantulkan kebenaran dan realiti,” ujarnya lagi.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya oleh muslihat pembangkang di Sabah berkaitan tuntutan hak di bawah MA63.

“Mereka ini cuba menangguk di air yang keruh. Mereka cuba putar belit kenyataan dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam perjuangannya,” tambahnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru