Monday, December 5, 2022

Shahrir cuba selesaikan isu Tanah Felda dengan apa-apa cara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrir Abd Samad mahu menyelesaikan isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak di ibu kota dalam apa-apa cara sekalipun memandangkan ia adalah isu terakhir bagi membersihkan agensi tersebut.

Menurut Pengerusi Felda itu, bagaimanapun beliau perlukan masa bagi menangani perkara tersebut dengan kaedah terbaik kerana isu itu bukan sesuatu yang mudah selain membabitkan jabatan serta agensi kerajaan lain.

Justeru itu katanya seperti dipetik BNBCC, pengurusan tertinggi Felda sebelum ini perlu tampil menjelaskan berkaitan pemberian surat kuasa wakil penuh kepada Synergy Promenade Sdn Bhd bagi membangunkan tanah tersebut.

Menurut Shahrir, tindakan awal Felda bagi mendapatkan semula hak milik tanah itu adalah melalui kaveat persendirian yang diperoleh pada 14 April 2017 dan disusuli laporan polis pada 12 Disember lalu.

Gambar fail

Shahrir berkata, Lembaga Pengarah Felda mahu tindakan undang-undang diambil kerana ada asas penipuan dalam urusan pindah milik tanah tersebut.

“Felda sendiri pun tidak tahu hak milik tanah sudah berpindah kepada syarikat terbabit,” jelas Shahrir lagi kepada portal BN itu.

Mengenai tindak balas syarikat terbabit termasuk menyaman Felda, beliau menegaskan agensi itu bersedia berdepan tindakan tersebut.

“Kita yakin boleh dapat balik kerana track rekod kita, Felda menang banyak kes sebelum ini,” katanya.

Menurut Shahrir, isu pemindahan tanah Felda di Jalan Semarak berlaku pada Disember 2015 dan November 2016 di mana yang terakhir itu dua bulan sebelum beliau jadi Pengerusi.

“Tetapi isu pembelian harta di London telah berlaku sebelum pindahmilik tanah di Jalan Semarak dalam tahun 2013 dan 2014,” katanya.

“Jadi tumpuan saya mestilah kepada isu yang lebih awal kerana itu cara saya bekerja. Dan saya lihat isu pindah milik secara fraud ini sebagai isu terakhir dalam usaha saya mahu membetulkan Felda dan membawa ia balik ke asal sebagai agensi terunggul,” katanya.

Bagaimanapun tegas Shahrir, ia mengambil masa kerana kes pemindahan milik tanah Felda agak teknikal di segi perundangan kerana ia melibatkan soal perjanjian pembangunan di mana Synergy Promenade Sdn Bhd ialah Pemaju dan turut memegang kuasa wakil bagi pihak Felda.

“Kita tidak gopoh dan Perdana Menteri  dimaklumkan di setiap peringkat dan akhirnya setelah mendapat nasihat Peguam Negara, Perdana Menteri bersetuju dengan tindakan yang dicadang oleh Felda,” jelasnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru