Tuesday, May 11, 2021

Majlis Gereja M’sia akui banyak gereja sokong resolusi PBB, simpati nasib Palestin

Mesti baca

SETIAUSAHA Agung Majlis Gereja Malaysia Hermen Shastri mengakui kebanyakan gereja di negara ini mempunyai pendirian sama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Baitulmaqdis.

Menurut Hermen pada acara high-tea tahunan sempena Krismas di Gereja Metro Tabernacle di Batu Caves pada Isnin, meskipun tidak menyertai demonstrasi mengecam Amerika Syarikat dan Israel, penganut Kristian menyokong Palestin.

Memetik Malaysiakini pada Isnin, menurut Hemren lagi, Kota Vatican dan Majlis Gereja Dunia bersolidariti dalam isu yang turut melibatkan penganut Kristian di Israel dan Palestin.

Beliau berkata, gereja turut mengadakan doa memohon keamanan dan keadilan di Palestin selaras dengan resolusi PBB.

Gambar fail – Hermen Shastri (Foto Youtube)

Kota Suci Tiga Agama

Baitulmaqdis atau Jerusalem dalam bahasa Ibrani disebut Jerushalayim atau al-Quds dalam bahasa Arab merupakan kota suci tiga agama; Islam, Kristian dan Yahudi, wajar menjadi kota keamanan dan dikongsi bersama.

Manakala, turut memetik sumber yang sama, paderi dari Seremban George Harrison menggesa agar semua pihak bijaksana menangani isu ini.

Bagi beliau, penyelesaian konflik Palestin-Israel memerlukan kebijaksanaan dan tindakan yang betul.

Selepas Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dunia Arab dan Islam bertindak balas menentang cadangan tersebut.

Di Majlis Keselamatan PBB, 14 negara mengundi menolak pengisytiharan AS itu, tetapi AS melalui duta besarnya di PBB menggunakan kuasa veto membatalkan resolusi tersebut.

Sementara beberapa hari selepas itu, 193 negara sekali lagi mengundi melalui Majlis Umum PBB atas desakan Pertubuhan kerjasama Islam (OIC).

Pada pengundian di Majlis Umum itu, hanya tujuh negara sekutu menyokong Israel dan AS.

Sebanyak 128 negara mengundi menolak pengisytiharan AS menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel.

Sebanyak 35 negara lagi mengambil sikap berkecuali dalam pengundian tersebut.

Baitulmaqdis Timur Milik Islam

Palestin berhasrat menjadikan Baitulmaqdis Timur yang menempatkan tempat suci Kubah Batu atau Kubah as-Shakrah atau “Dome of the Rock” dan Masjid al-Aqsa dikenali sebagai Haram al-Sharif sebagai ibu negara berdauat pada masa depan.

Masjid tersebut merupakan tempat suci ketiga dalam Islam yang didatangi Nabi Muhammad SAW dari Makkah semasa melakukan perjalanan malam Isra’ Miraj.

Gereja Makam Kudus Kristian

Penganut Kristian pula memiliki Gereja Makam Kudus di Jerusalem, sebuah tempat ziarah penting para penganut Kristian di seluruh dunia.

Tempat itu terletak di lokasi penting dalam kisah Jesus berkaitan penyaliban-Nya, kematian dan dan kebangkitan-Nya.

Dinding Ratapan Yahudi

Di kawasan suci Yahudi di Jerusalem pula terdapat Kotel, Dinding Ratapan (Wailing Wall) atau juga dikenali sebagai Tembok Barat, sisa dari dinding penahan gunung tempat berdirinya Bait Suci zaman dulu.

Di tempat suci ini terdapat Ruang Kudus, tapak paling suci dalam agama Yahudi.

Yahudi percaya tempat suci di Jerusalem itu sebagai tempat batu asas penciptaan dunia serta tapak Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru