Friday, December 2, 2022

UPP dan SUPP: Perbalahan yang tiada kesudahan

Secara Rawak

Perbalahan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan parti serpihannya Parti Rakyat Bersatu (UPP) sudah berlaku sekitar tiga tahun.

Konflik berkenaan bagai tiada kesudahannya. Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem tidak sempat menyelesaikan masalah itu.

Kini, kedua-dua parti yang mewakili masyarakat dan pengundi Cina itu perlu terima kenyataan.

Lebih-lebih lagi selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu perbalahan antara diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) beliau percaya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai formula untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya minta selesaikan soal ini. Saya percaya Abang Johari ada formula macam mana nak selesaikan sebelum PRU14 untuk SUPP kembali sebagai barisan yang kukuh sebagai SUPP yang satu,” kata Najib dalam ucapan di majlis penutupan Persidangan Perwakilan Tritahunan SUPP ke-24 di Kuching pagi semalam.

Tidak diketahui bagaimana reaksi Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh?

Adakah beliau mahu mendengar kata Perdana Menteri atau mahu berkeras tidak mahu berganjak dengan pendiriannya?

Sehari sebelum itu, perwakilan SUPP bersetuju dengan resolusi untuk menolak calon langsung Barisan Nasional pada PRU14 nanti.

Hakikatnya, pendekatan dan strategi berkenaan bukan jalan terbaik. Calon langsung hanyalah penyelesaian sementara. Selepas pilihan raya, konflik akan berterusan.

SUPP sebenarnya lebih berhak untuk mendapatkan kerusi berkenaan, kerana kerusi yang kini dipegang oleh UPP secara tradisi ialah kerusi parti tertua Sarawak itu.

Dalam ucapannya di hadapan perwakilan yang hadir, Najib berkata beliau mahu SUPP kembali menjadi sebuah parti pilihan di Sarawak. Tetapi bagaimana hendak menjadi parti pilihan kalau tidak dapat menyatukan masyarakat Cina?

Tetapi untuk berlaku adil terhadap Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, beliau telah berjaya menyelamatkan, dengan bantuan Najib dan Adenan, parti yang hampir menemui ajalnya pada 2010.

Dalam hubungan ini, Najib menggariskan tiga perkara yang boleh menjadi kekuatan SUPP.

“Tiga perkara ialah mempunyai perancangan, perancangan itu mampu dilaksanakan dengan baik dan juga perpaduan serta kesepaduan,” katanya.

Dengan resipi yang dikemukakan Perdana Menteri itu, kini terpulang kepada SUPP  dan UPP untuk duduk semeja bagi memastikan hasrat Najib itu tercapai.

Kedua-dua parti itu harus membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Ini demi kekuatan BN, dan kepentingan masyarakat Cina pada keseluruhannya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru