Friday, December 2, 2022

Naib Presiden: Selepas ini akan ada pula desak Pas dibubarkan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Naib Presiden Pas Idris Ahmad ternyata berang dengan berita yang tersebar bahawa akan ada ahli dan pemimpin parti itu yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedangkan setiap bulan ahlinya meningkat sekurang-kurang 2,000 orang.

“Cerita ahli Pas masuk Umno, masuk PAN (Amanah) dan terbaru ahli Pas masuk PKR pula,” ujarnya.

Selepas ini, katanya ada pula berita ahli Pas akar umbi mendesak dibubarkan Pas.

“Kalau ikut cerita ini, yang tinggal dalam PAS hanya Tuan Guru Haji Hadi sajalah,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Gambar fail

Peliknya, kata Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, setiap bulan keahlian baharu Pas tidak kurang 2,000 orang sebulan di mana pada 2017 paling ramai iaitu 41,813 ahli baharu.

“Biarlah ini kerja pelapor yang tidak ada berita hendak buat cerita. Hendak bagi laku berita. Hendak harap program parti tidak ada,” katanya.

Sebuah portal berita  sebelum ini mendakwa jentera pilihan raya PKR diminta bersedia menguruskan gelombang kedua kemasukan pemimpin dan anggota Pas di Selangor.

Menurutnya, itu semua alamat kubra PRU sudah dekat.

Tambahnya, ataupun hendak mengharapkan orang masuk parti mereka tidak ada, maka kerja bilang ahli PAS sahajalah.

“Atau buat cerita Pas hendak bersama dengan Umno,” kata beliau, sambil menambah, sudah sembilan tahun cerita Pas hendak bersama Umno.

“Kalau ada anak sekolah sudah berada darjah tiga. Biasanya orang melampau akhirnya tersungkur di kaki Umno,” katanya lagi.

Sementara itu,  Pas Selangor dipetik sebagai berkata, tidak ada mana-mana wakil rakyat parti itu atau pemimpin mereka akan beralih arah menyertai PKR.

Menurut  Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar A Samad, wakil rakyat parti itu sendiri amat terkejut dengan dakwaan demikian, malah menyifatkannya sebagai khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan PAS Selangor menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru