Monday, June 27, 2022

Ekori rapat lori punca warga emas maut digilis di Bintulu

Secara Rawak

BINTULU: Seorang warga emas maut digilis sebuah lori, setelah motosikal yang ditunggangnya terlanggar tayar belakang lori terbabit di Jalan Nyigu di sini.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, insiden berlaku sekitar jam 7.40 pagi semalam berhampiran Bengkel Lu & Son.

“Siasatan awal kita mendapati pemandu lori sedang bergerak dari arah bandar Bintulu menuju Jalan Nyigu, dan memberi isyarat untuk membelok ke simpang kiri jalan.

“Mangsa yang mengekori rapat lori terbabit dipercayai tidak menyedari tindakan tersebut, sebelum melanggar tayar belakang sebelah kiri lori lalu tergilis.

“Mangsa yang menunggang Yamaha Legenda kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketika kejadian kata Bingkok, tempat kejadian adalah jalan lurus dan cuaca baik.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Yu Teck Kiang, 63 tahun dari Sibu.

Kes  disiasat di bawah  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru