Monday, June 27, 2022

Penduduk di hulu pedalaman Belaga, Kakus bina pondok dan khemah

Selamatkan diri daripada musibah banjir

Secara Rawak

BINTULU: Pindah dan berkhemah di kawasan tinggi, itu tindakan yang diambil oleh penduduk rumah-rumah panjang di pedalaman tatkala air sungai melimpah naik dan mereka tidak dapat menghilir ke pusat pemindahan.

Itu pengalaman pasukan-pasukan pemantau, yang terpaksa mengharungi perjalanan berjam-jam untuk tiba di lokasi penempatan terpencil ini.

Menurut pasukan pemantau banjir Angkatan Pertahanan Awam (APM), mereka dan wakil Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap bertolak dari Pejabat Daerah Kecil sekitar jam 8.30 pagi semalam dan dan tiba di Uma Seping pada jam 9.21 pagi.

“Hasil pemerhatian awal mendapati limpahan air Sungai Koyan telah membanjiri kawasan kampung dan arus sungai yang kuat turut melalui di bawah rumah penduduk dengan ketinggian 1 kaki setengah dari paras lantai.

“Ketika ini, penduduk telah berpindah di kawasan tinggi (membina pondok sementara/pondok kebun) bersebelahan dengan kampung di samping berusaha memindahkan barang-barang keperluan yang lain.

Sementara itu, pasukan pemantau Bomba dan Penyelamat menghulu ke Sungai Kakus di Tatau dengan kekuatan enam anggota dan dan satu bot.

Perjalanan mengambil masa dua jam 30 minit ke hulu sungai, dengan pasukan bertolak dari jeti Tatau pada jam 3.35 petang Rabu.

Apabila pasukan pemantau tiba di Rumah Taa, Kakus pada jam 6.30 petang, hanya empat penghuni daripada dua bilik berada di rumah panjang 14 pintu tersebut.

Paras air naik ke dalam rumah pada ketinggian 4 kaki, kata mereka.

Rumah Degum yang mempunyai 16 pintu dinaiki air setinggi dua kaki manakala Rumah Robert Nuing yang mempunyai 14 pintu dan 82 penghuni dimasuki air sedalam tiga kaki, sekitar jam 8.40 malam.

Penduduk kata jurucakap pemantau, telah berpindah ke atas bukit di belakang rumah dengan membina pondok sementara.

Anggota bomba turut bermalam di kawasan hulu Sungai Kakus bersama penduduk kampung.

Semalam, hasil pemerhatian semasa anggota dalam perjalanan balik, didapati trend air adalah sedikit menaik. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru