Friday, September 30, 2022

Kisah sadis suami bunuh isteri, potong dan bakar mayatnya kerana terlalu kecewa

Secara Rawak

JAKARTA: Kecewa dengan perubahan sikap isterinya Nindy serta permintaannya yang membebankan, Kholili sanggup membunuh isteri kesayangannya pada Isnin, 4 Disember lepas.

Menurut Suara.com, pada malam kejadian itu, Kholili meletakkan jenazah Nindy di tengah rumah dan dia sendiri tidur di sofa.

Esoknya, pada Selasa, Kholili yang mati akal itu sambil menangis mengingatkan anak lelaki mereka AAL, sambil memotong jasad isterinya.

Jasad itu kemudiannya dibuang.

Pada Rabu, Kholili cuba menghapuskan bukti pembunuhan itu dengan membakar potongan anggota tubuh isterinya.

Kisah tragis di Kabupaten Karawang, Jawa Barat tercetus apabila Kholili yang hanya bekerja sebagai budak pejabat, mendakwa tidak lagi tahan menunaikan permintaan membebankan isterinya yang mahu dibelikan kereta.

Kholili hanya bergaji Rp3.8 juta (RM1,150) sebulan dan tidak mampu membeli kereta, atau mendapatkannya secara hutang sekalipun.

“Jangankan beli kereta, untuk beli susu bayi kami saja susah,” kata Kholili kepada wartawan.

Kholili mengenali Nindy melalui Facebook pada 2014 dan sudah mengaku secara jujur awal-awal lagi bahawa dia hanyalah budak pejabat bergaji kecil.

Pada 2015, Kholili meminang Nindy yang bekerja dan tinggal di Semarang.

Mereka menikah kemudiannya dengan isterinya itu berhenti kerja.

Pada 2016, pasangan ini dikurniakan anak lelaki bernama AAL.

Kerana gaji Kholili tidak mencukupi untuk keperluan harian mereka, Nindy memutuskan bekerja semula sebagai petugas pemasaran kompleks perumahan di Karawang.

Gaji Nindy lebih besar berbanding Kholili iaitu Rp5 juta (RM1,500) sebulan, dan suaminya itu mula cemburu dan terasa harga dirinya mula diinjak-injak isterinya.

Nindy dikatakan mula berubah, dia lebih banyak melayan telefon selularnya serta meremehkan tugasan di rumah termasuk tidak lagi mahu menseterika atau mencuci baju.

Bahkan, jika lapar Kholili memasak mi segera untuk isterinya itu.

Bagaimanapun, Kholili berkata dia ikhlas membereskan urusan rumah, asalkan Nindy tidak menunjukkan sikap suka marah-marah.

“Tapi (dia) sering marah-marah. Pernah (dia) mencakar saya. Tapi saya tak melawan,” akui Kholili.

Bahkan, Nindy turut meminta agar bayi mereka diasuh oleh ibu Kholili di Kabupaten Bogor dengan keperluan AAL dibiayai ibu bapa Kholili sendiri termasuk untuk membeli susu.

Kholili mengakui, gajinya habis bagi memenuhi keperluan harian dia dan Nindy termasuk membayar hutang motosikal Kawasaki Ninja.

Oleh kerana Nindy tidak mahu memasak, akhirnya mereka juga membeli makanan di luar.

Kholili tidak lagi mengirim wang kepada ibu bapa di Bogor termasuk untuk keperluan AAL.

Selain menerima kemarahan Nindy, Kholili juga kerap dihina ayahnya sendiri kerana mengabaikan keperluan AAL di kampung.

Kholili mendakwa isterinya menghabiskan wang untuk keperluan sendiri hidup secara glamor seperti kerap ke salun serta berkawan dengan rakan berkereta.

Dari situ, menurut Kholili isterinya mula minta dibelikan kereta sendiri sejak Oktober lepas.

Oleh kerana tidak mampu, Kholili meminta agar isterinya menyewa kereta ke tempat kerja.

Namun, isterinya naik angin mendengar cadangan itu dan memberi tarikh akhir agar Kholili mendapatkan kereta tersebut pada Disember ini.

Isu kereta mencetuskan api pertengkaran panas mereka berdua, sehingga Nindy sanggup menghinanya termasuk menghina ibu bapanya di Bogor.

Akhirnya perbalahan suami isteri itu memuncak pada Isnin.

Menurut Kholili, perang mulut menyebabkan Nindy mencekiknya menyebabkan dia memberontak dan membalasnya dengan memukul dua kali pada bahagian leher isterinya.

Akibat pukulan Kholili, Nindy terkapar jatuh.

Kholili terkejut, dia memeriksa nafas dan detak jantung Nindy, ternyata isterinya sudah meninggal.

Kholili mati akal lalu menutup mulut isterinya dengan selotape.

Pada Selasa, Kholili nekad memotong tubuh isterinya dengan golok menjadi tiga bahagian: kepala, badan dan kaki.

Kholili membuang kepala dan kaki Nindy di Tegalwaru. Badannya pula dibuang di Ciranggon.

Pada Rabu, Kholili kembali mendapatkan potongan anggota jenazah dan membakarnya untuk melupuskan bahan bukti.

Kes pembunuhan sadis yang dilakukan oleh Kholili terhadap arwah isterinya terungkap pada 12 Disember, seminggu selepas itu.

Sebelum itu Kholili pernah mengakui isterinya hilang, tetapi memberi maklumat yang janggal kepada polis menyebabkan polis mensyaiki ada sesuatu tidak kena berkaitan Kholili dalam kes ini.

Akhirnya Kholili mengakui perbuatannya dan berkata dia kini sanggup menerima apa sahaja hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Kholili menyesal membunuh Nindy dan sedih kerana tidak lagi dapat berjumpa anaknya AAL yang berusia 13 bulan.

Kholili disiasat di bawah Fasal 340 dan 338 KUHP berdepan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup atau penjara 20 tahun.

“Saya minta maaf kepada orang tua saya, kerana selalu menyusahkan mereka. Saya juga ingin minta maaf kepada orang tua Nindy. Saya minta maaf kerana gelap mata. Saya akan terima apa pun hukumannya,” katanya.

“Saya sedia dihukum mati. Ini tanggungjawab saya,” kata Kholili ketika diwawancara Suara.com di penjara Mapolres Karawang, Jawa Barat pada Jumaat lepas. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru