Tabung Haji harus kendali umrah juga, elak penipuan

0
5

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sangat kecewa dengan isu Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (Imams) dan cara ia telah dikendalikan.

Majlis Kawalselia Umrah (MKSU) mendakwa bahawa Imams telah ditubuhkan untuk menghentikan penipuan Umrah yang semakin meningkat setiap tahun.

Berlanjutan dari ini,  kata Presiden CAP, S.M Mohamed Idris, persoalan yang harus diketengahkan adalah kenapa harus diwujudkan sebuah sistem yang akan diuruskan oleh syarikat pihak ketiga dan yang akan menyebabkan jemaah Umrah menanggung kos RM90.10 tambahan atas kos yang mereka akan bayar untuk menunaikan ibadah Umrah.

Selain itu,  sejurus Imams dibatalkan, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin telah menyatakan bahawa mereka akan mewujudkan satu mekanisme baharu untuk menentang penipuan Umrah.

“Sekali lagi kami bertanya mengapa perkara sedemikian diperlukan. Lesen Khas Umrah yang diberikan kepada agensi pelancongan yang mempunyai status Muassasah (kebenaran untuk mengurus jemaah haji) dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM). Kenapa jabatan penguatkuasaan kementerian tersebut  tidak mengambil tindakan terhadap penipu ini?,” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Gambar fail – Mynewshub

Ujarnya, CAP berpendapat langkah yang bijak adalah bagi Tabung Haji mengambil alih pengurusan kedua-dua lesen untuk Haji dan Umrah dan tidak melibatkan KPKM.

“Ini kerana Tabung Haji sudah mempunyai mekanisme yang diperlukan, dan pendekatan yang terakhir perlu dilakukan adalah hanya untuk menggabungkan perkara-perkara berkaitan Umrah ke dalam mekanisme yang sedia ada,” ujarnya.

Tambahnya, seawal September 2016, CAP telah menghubungi Tabung Haji mengenai peningkatan kadar penipuan Umrah.

Statistik penipuan Umrah menurut rekod CAP,  pada masa itu, yang diambil daripada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, menunjukkan terdapat 2761 mangsa dari tahun 2012 hingga 2015 dengan anggaran kerugian sebanyak RM19 juta.

Kata Mohamed, pada Januari 2017, Tabung Haji bermaklum balas bahawa mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), perkara-perkara yang berkaitan dengan Umrah tidak termasuk di bawah bidang kuasa mereka.

Katanya lagi, pada Oktober 2017, Tabung Haji telah memaklumkan bahawa walaupun Haji adalah ibadah bermusim, namun persediaan untuk Haji dilaksanakan sepanjang tahun; dan ia memang patut untuk MKSU, yang ditubuhkan 3 tahun lalu di bawah KPKM, untuk mengendalikan perkara-perkara ibadah Umrah.

Perkara ini, katanya, diberitahu selepas  CAP mencadangkan bahawa Tabung Haji mengambil alih urusan Umrah kerana penipuan Umrah yang masih berleluasa di bawah KPKM.

“Kami menggesa bahawa Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dipinda bagi memasukkan perkara-perkara ibadah Umrah ke dalam akta tersebut, seperti kami telah menggesa dari hari pertama kami tujukan isu penipuan umrah,”’ katanya.

Katanya, CAP  juga mencadangkan bahawa Tabung Haji mengambil lebih ramai kakitangan, bahawa pekerja mereka mempelajari kemahiran pengurusan dan bahawa mereka memperbaharui sistem mereka jika perlu.

“Mereka mesti melakukan semua yang diperlukan untuk membolehkan Tabung Haji menjadi badan yang mengendalikan hal ehwal umrah. Kami percaya ini adalah cara terbaik untuk menghapuskan penipuan-penipuan Umrah daripada berlaku,” katanya. – Sarawakvoice