Wednesday, December 7, 2022

Sistem pengurusan rizab antarabangsa berfungsi baik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sistem pengurusan rizab antarabangsa ketika ini berfungsi dengan baik sekali gus menjadikan pasaran kewangan Malaysia berada dalam keadaan stabil terutama ketika berhadapan dengan pengaliran keluar modal secara besar-besaran, kata Menteri Kewangan Kedua.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penurunan rizab sebanyak AS$39.6 bilion tidak memberi sebarang impak kepada ekonomi Malaysia serta kedudukan kewangan Bank Negara.

“Hakikatnya, BNM terus merekodkan keuntungan bersih yang positif sepanjang tempoh berkenaan. Tidak seperti yang berlaku pada 1993 apabila mencatatkan kerugian operasi disebabkan oleh aktiviti perdagangan mata wang asing secara spekulatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Johari menjawab tuduhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah video di Youtube yang mendakwa BNM kehilangan AS$369.6 bilion pada tahun 2013 sehingga 2015 semasa menguruskan rizab antarabangsa.

“Ingin saya tegaskan bahawa rizab antarabangsa kekal sebagai penempan penting kepada tekanan luaran dan merupakan perkara utama di dalam memastikan kestabilan operasi ekonomi domestic,” jelasnya.

“Sejak dari tempoh tersebut, rizab antarabangsa Malaysia telah pun meningkat,” katanya.

Menurut Johari, kerugian yang didakwa bekas perdana menteri itu sebenarnya ialah penyusutan rizab antarabangsa susulan pengaliran keluar modal asing daripada Malaysia dan bukannya kerugian akibat dagangan matawang asing.

“Pengaliran keluar modal itu adalah disebabkan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lemah, jangkaan normalisasi dasar monetari Amerika Syarikat serta kejatuhan teruk harga minyak dunia,” tambahnya.

“Ketiga-tiga faktor tersebut memberi tekanan kepada pelabur asing untuk mencairkan pelaburan mereka dalam pasaran saham dan bon tempatan.

“Situasi ini bukan hanya terjadi kepada Malaysia malah turut menjejaskan negara-negara membangun yang lain termasuk Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, India, China, Korea Selatan dan Taiwan,” jelasnya.

Menurut Johari, setakat hujung November 2017, rizab antarabangsa berada pada paras AS$101.9 bilion dan mencukupi untuk menyokong 7.5 bulan import.

Rizab tersebut ialah lima kali ganda lebih tinggi berbanding AS$21.7 billion yang direkodkan pada 1997 yang pada ketika itu hanya mampu menyokong 3.4 bulan import. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru