Saturday, August 20, 2022

Insya-Allah, saya tidak berdendam — Cikgu Azizan

Secara Rawak

SEREMBAN: ” Insya-Allah, saya tidak ada hendak berdendam apa-apa. Alhamdulillah kes ini selesai, mudah-mudahan saya dapat bekerja lebih bagus,” ungkap Cikgu Azizan, dalam sebak ketika meraikan pembebasannya oleh Mahkamah Majistret di sini pagi tadi, susulan dakwaan mencederakan muridnya pada April lalu.

Pembebasan beliau diiringi sorak dan tangis kegembiraan oleh lebih 300 individu dan seluruh rakyat Malaysia yang bersolidariti di belakangnya.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menerima arahanJabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Cikgu Azizan atau nama sebenarnya Azizan Manap, 44 tahun, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hari ini sepatutnya menjadi hari pertama proses perbicaraan dengan Azizan diwakili peguam Francis Pereira.

Guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Cuepecs termasuk Presidennya Datuk Azih Muda hadir di Kompleks Mahkamah Seremban memberi sokongan moral kepadanya sejak jam 8 pagi tadi.

Difahamkan murid yang dihukum terbabit berhadapan masalah disiplin termasuk menghidu bahan inhalan atau gam, menyebabkan Cikgu Azizan bertindak menghukumnya.

Berikutan kemenangan ini, beliau berikrar: ” Cuma Allah sahaja yang saya pohon, agar profesion perguruan ini akan dapat dimartabatkan semula,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru