KUCHING:  Stampin, kerusi yang dianggap sukar dirampas balik oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Namun, pengerusi SUPP Stakan mempunyai pendirian berbeza.

Sim Kian Chiok percaya bahawa Stampin dapat dirampas kembali daripada DAP.

Faktor keyakinan beliau adalah kerana kerusi itu majoritinya terdiri daripada pengundi bumiputera.

“Berbanding Bandar Kuching, Stampin lebih mudah untuk BN dapat balik,” katanya.

Stampin dan Bandar Kuching dimenangi DAP melalui Julian Tan dan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam PRU-13.

Beliau juga percaya BN dapat memenangi Bandar Kuching jika parti komponen bekerja kuat.

“BN dapat menang balik Stampin, malah mungkin dapat menangi Bandar Kuching,” katanya.

Kerusi Stampin meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Batu Kawah dan Batu Kitang, manakala Bandar Kuching meliputi DUN Batu Lintang, Padungan dan Pending.

Hanya Batu Kawah dan Batu Kitang dimenangi BN dalam pilihan raya negeri lalu.

Penganalisis politik percaya bahawa sukar bagi SUPP merampas balik Bandar Kuching meskipun ia mempunyai sedikit peluang untuk memenangi Stampin.

Semalam, cawangan SUPP Stakan mengumumkan barisan kepemimpinan baharu bagi tempoh  2018 hingga 2020  yang dipilih dalam Mesyuarat Tiga Tahun Sekali kali Kedua di Kuching pada 12 November lalu.

Jawatankuasa baharu itu bertekad untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi dan rakyat, termasuk membantu dalam meningkatkan taraf hidup. – Sarawakvoice