Tuesday, May 11, 2021

OIC iktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin merdeka

Mesti baca

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Sidang Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki pada Rabu menggesa dunia agar mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur yang dijajah Israel sebagai ibu negara Palestin.

OIC dianggotai 57 negara Islam didominasi negara Arab dengan giliran Turki sebagai Pengerusi OIC kali ini, menggembleng sokongan pemimpin Islam ke arah mekanisme tindak balas bersama menentang usaha Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Memetik AFP, Erdogan mahu menyatukan pemimpin Islam yang sering bertelagah agar dapat mengeluarkan konsensus tegas membantah langkah Trump itu.

Erdogan turut menganggap Israel sebagai penjajah dan pengganas sehingga menjadikan pengumuman Trump sebagai lesen beraksi di Palestin.

Erdogan meminta semua negara yang menghormati keadilan antarabangsa agar mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Tiada Keamanan di Asia Barat — Presiden Palestin Mahmoud Abbad

Sementara, Presiden Palestin Mahmoud Abbas memberi amaran bahawa keamanan tidak akan wujud di Asia Barat selagi langkah seumpamanya tidak diambil.

Abbas menganggap AS hilang peranannya sebagai orang tengah dalam proses damai Israel-Palestin susulan pengiktirafan Presiden Donald Trump itu.

Abbas mengutuk langkah Trump itu sebagai hadiah kepada pergerakan Zionis dan menegaskan Washington tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam proses damai di Asia Barat.

“Kami tidak menerima sebarang peranan AS dalam proses politik bermula dari hari ini kerana Washington bersikap berat sebelah dan memihak kepada Israel,” katanya.

Abbas menambah bahawa PBB yang sepatutnya mengambil peranan dalam rundingan berkenaan.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Senada Erdogan

Di Arab Saudi, Raja Salman senada dengan Erdogan bahawa penduduk Palestin berhak ke atas Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota mereka.

Arab Saudi menggesa hak penduduk Palestin termasuk hak mereka untuk menubuhkan negara sendiri yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota dikembalikan.

Presiden Indonesia Tolak Pengumuman Trump

Presiden Indonesia, Joko Widodo yang turut menghadiri sidang tergempar OIC tersebut, mengatakan berusaha membulatkan suara OIC berkaitan pembelaan terhadap nasib Palestin.

“Ini kesempatan pertama bagi negara OIC untuk secara bersama dan tegas menolak pengiktirafan Trump yang mengakui Jerusalem sebagai ibu kota Israel,” kata Jokowi di lapangan terbang Jakarta, sebelum berangkat ke Istanbul.

Britain, Perancis, EU Belum Akui Jerusalem Ibu Negara Israel

Setakat ini negara bukan Islam yang tidak bersetuju dengan pengesahan AS ialah Britain dan Perancis yang merupakan anggota Dewan Keselamatan PBB serta Kesatuan Eropah (EU) masih belum mengakui Jerusalem sebagai ibu kota Israel.

Perpecahan negara Arab mutakhir ini membuat Trump yakin menetapkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel.

Trump dikatakan mengambil kesempatan atas perpecahan dunia Arab selepas peristiwa Arab spring, isu ISIS, perang saudara di Syria, Iraq, Libya dan Yaman.

Bawa isu Baitulmaqis ke PBB — PM Malaysia

Sementara, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada sidang kemuncak luar biasa tersebut, bahawa negara OIC sedia membawa isu bantahan terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh AS ke PBB jika Majlis Keselamatan gagal bertindak ke atas isu tersebut pada kadar segera.

Negara OIC menurut Najib mengesahkan isu Palestin dan Baitulmaqdis merupakan agenda penting umat Islam.

OIC dikatakan sedia memberi sokongan berterusan kepada rakyat Palestin dalam usaha menubuhkan negara Palestin merdeka berdasarkan persempadanan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis atau Jerusalem Timur sebagai ibu negara.

Menurut Najib, negara OIC menolak sekeras-kerasnya pengumuman pentadbiran AS secara unilateral mengiktiraf al-Quds al-Sharif sebagai ibu negara Israel yang tidak sah dari segi undang-undang dan sejarah.

Status akhir al-Quds al-Sharif patut ditentukan melalui rundingan dua hala di antara Palestin-Israel melalui kerangka penyelesaian dua negara.

Keputusan terkini AS disifatkan satu provokasi dan memberi kesan keselamatan serius ke atas rantau Timur Tengah.

“(OIC) juga mengiktiraf Jerusalem Timur sebagai ibu negara Palestin dan menyeru negara lain mengiktiraf Palestin,” kata Najib.

Sidang kemuncak OIC kali ini mendapat sambutan sangat baik dengan kehadiran ramai pemimpin negara Islam. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru