Friday, August 12, 2022

Syariah perlu ikut konteks, terap dalam realiti perniagaan, kata BNM

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Syariah perlu mengikut konteks dan diterapkan dalam realiti perniagaan, bukannya terhad kepada rangka kerja yang tidak berubah, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, oleh itu adalah wajar untuk memperluaskan visi periferal bagi merangkumkan pertimbangan perniagaan dalam mentafsir dan mengguna pakai prinsip syariah.

“Ini merupakan keperluan, sekiranya kita bercita-cita untuk keluar daripada pemikiran berasaskan pematuhan kepada pandangan dunia berasaskan hasil.

“Berdasarkan semangat ini, BNM sedang mempertingkatkan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah untuk institusi kewangan Islam, yang menyeru supaya Jawatankuasa Syariah mengintegrasikan perniagaan dan pertimbangan risiko yang relevan dalam keputusan syariah,” katanya berucap di acara makan malam sempena ulang tahun ke-20 Majlis Penasihat Syariah (SAC) malam tadi.

BNM menyasar untuk meletakkan jawatankuasa itu sebagai pemboleh dan pemangkin dalam menyokong lembaga pengarah dan pengurusan kanan bagi memacu inovasi menerusi penyediaan nasihat syariah yang praktikal, boleh dilaksanakan dan berkesan.

Sementara itu, Muhammad berkata, pelancaran program Penasihat Syariah Bertauliah (CSA) dan Pengamal Syariah Bertauliah (CSP) baru-baru ini menunjukkan komitmen BNM dalam membentuk dan menyemai bakat syariah berkualiti tinggi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Program pensijilan profesional tersebut akan menaikkan tahap industri menerusi peningkatan profesionalism penasihat syariah dan mempertingkatkan kompetensi komuniti itu.

Tambahan pula, beliau berkata, BNM akan menjadikan pensijilan itu sebagai satu prasyarat bagi pelantikan dan pelantikan semula anggota jawatankuasa syariah untuk memastikan penasihat dan kakitangan syariah dilengkapi pengetahuan diperlukan, menjangkaui pelbagai disiplin termasuk perkaraundang-undang, kewangan dan pencukaian.

“Matlamat akhir adalah untuk melibatkan dunia secara lebih terbuka. Isu syariah adalah kompleks dan kadang-kala sukar untuk ditentukan, namun ia penting, dan sangat penting kepada pelbagai pihak pemegang kepentingan.

“Dalam mewujudkan contoh untuk memberi inspirasi kepada perubahan, mulai Januari 2018, laman web BNM akan menampilkan versi yang dipertingkatkan dengan laman web mikro SAC, bermula versi bahasa Melayu untuk memberi pendedahan lebih terperinci mengenai peranan SAC,” katanya.

Laman mikro itu berfungsi sebagai wadah untuk perbincangan utama mengenai perkara fiqh dan asas alasan penetapan syariah, di samping menggalakkan pemahaman lebih mendalam dan pengukuhanproses pemikiran dan rasional untuk mencapai keputusan. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru