Tuesday, June 28, 2022

PAS harap M’sia bersama negara Islam lain capai resolusi proaktif

Secara Rawak

KUALA TERENGGANU: PAS berharap Malaysia dan negara Islam yang lain dapat mencapai resolusi yang proaktif semasa sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung di Turki, hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau berharap resolusi yang dicapai itu nanti tidak sekadar resolusi protes tetapi mestilah satu tindakan yang berkesan dalam membincangkan kesan pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (Amerika).

“Yahudi bukan kuat tetapi mereka mempengaruhi politik negara barat khususnya Amerika. Mana-mana Presiden Amerika yang nak menang pilihan raya mesti menyokong Israel tetapi presiden terdahulu lebih bersikap orang politik dan tahu tentang (impak pengumuman itu) kerana dunia Islam ada pengaruhnya.

“Walaupun mereka buat janji nak bagi tapi mereka tak tunaikan, tangguh-tangguh. Tetapi Presiden Amerika (sekarang), Donald Trump ini orang perniagaan, (dia) politik secara berniaga bukan politik betul maka dia bertindak drastik.

Gambar fail

“Kita difahamkan beliau mendapat tentangan bukan sahaja dari negara Islam, malah termasuk dari negara barat termasuk orang Amerika sendiri. Hari ini dah ada kajian daripada pengamal undang-undang untuk mengkaji bagaimana Trump boleh dipecat sebagai presiden sebagaimana presiden dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sidang Kemuncak Luar Biasa yang berlangsung di Lutfi Kirdar Congress Centre di Turki.

Sidang Kemuncak itu akan dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku pengerusi Sidang Kemuncak Islam dan Sesi Luar Biasa Persidangan Islam.

Ditanya mengenai harapan PAS berhubung kehadiran perdana menteri itu, Abdul Hadi berkata beliau memang berharap pemimpin nombor satu negara itu akan menyampaikan mesej serta pendirian tegas Malaysia.

Beliau turut memuji kenyataan tegas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein bahawa Malaysia bersedia melaksanakan keputusan walaupun melibatkan ketenteraan Malaysia bagi menyelesaikan isu Baitulmuqaddis.

Anggota Parlimen Marang itu juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memperjuangkan isu Baitulmuqaddis.

“Macam Himpunan Bersama…yang penting tujuannya sama walaupun pentas lain. Jangan kita berlaga sudah. Yang menyatukan bukan sahaja PAS dan UMNO…termasuk juga dalam kalangan bukan Islam yang peka isu ini,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru