Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 telah melabuhkan tirainya pada Sabtu, 9 Disember 2017. Pada perjalanan PAU pada kali ini, pemimpin dan perwakilan UMNO memperlihatkan tahap perpaduan yang luar biasa, sesuai dengan citra penubuhannya yang kini memasuki usia 71 tahun.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diputuskan sebulat suara supaya tidak dipertandingkan. Justeru, salah satu sumber kepada intrig dan pergeseran dalaman telah berjaya dihapuskan.

Memandangkan ini merupakan persidangan terakhir sebelum PRU-14, mesej yang hendak disampaikan kepada perwakilan pada tahun ini ialah bersedia menghadapi ‘perang’ PRU-14.

Retorik perang seperti ‘gendang perang’, ‘obor perang’, ‘semboyan perang’, ‘bala tentera’, ‘gempur’ dan sebagai dilaungkan dengan penuh semangat oleh semua pemimpin kanan UMNO semasa menyampaikan ucapan mereka.

Semua pemimpin UMNO dari dahulu sehingga sekarang menerima tentangan dan cabaran yang hebat. Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga tidak terkecuali.

Semenjak tahun 2015, beliau diserang bertali arus dengan isu 1MDB, GST, kos sara hidup, hutang luar negara, pelaburan asing China dan sebagainya.   Dan serangan yang dilakukan terhadap Najib bukan daripada orang-orang kecil.

Mengepalai serangan tersebut ialah mantan Perdana Menteri, mantan Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO  Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini telah berpakat menubuhkan gabungan parti pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Harapan.

Cerita buruk mengenai pentadbiran Najib dan 1MDB dicanang ke seluruh dunia. Najib dikatakan akan ditahan apabila mamasuki Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Eropah yang lain.

Namun, persepsi negatif tersebut akhirnya terburai musnah apabila Najib menjadi ketua eksekutif pertama dari rantau Asia Tenggara dijemput bertandang ke Rumah Putih dan menemui Presiden Donald Trump. Tidak berapa lama selepas itu beliau berkunjung pula ke Nombor 10, Downing Street, menemui Theresa May, Perdana Menteri Britain.

Semua yang dirancang oleh Pakatan Harapan sehingga kini tidak menjadi kenyataan. Pendaftaran mereka masih belum diluluskan dan yang paling utama salah satu parti pembangkang utama di Malaysia iaitu PAS, dari awal tidak mahu menyertai Pakatan Harapan.

Ada pemerhati politik berpendapat sekiranya PAS meletakkan calon di 120 kerusi parlimen yang sebahagian besarnya terdiri daripada pengundi Melayu, dan berlaku perlawanan tiga penjuru antara BN, PH dan PAS, adalah dijangka  105 daripada kerusi Parlimen tersebut akan dimenangi oleh UMNO.

Sikap pengerusi PH yang tidak mahu meminta maaf  atas kesilapannya pada masa lalu, khususnya dalam penggunaan akta ISA, dan sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan ‘saya kesal dengan apa yang berlaku’ membantu PH untuk mendapat sokongan daripada pengundi kelas menengah.

Motif pengerusi PH untuk kembali mendapat kuasa pada usia 93 tahun juga mula dicurigai oleh kelas menengah. Kemungkinan negara kembali berada di bawah sistem autoritarian adalah tinggi. Kepada pengundi bandar dan  kelas menengah, pengerusi Pakatan Harapan tidak boleh lagi diberi lesen yang membolehkan beliau kembali bertindak ‘in his own way’.

Semua perkembangan ini menyakinkan para perwakilan ke PAU 2017 bahawa situasi politik kini memihak kepada mereka. Semangat juang dan tahap perpaduan dalam diri semua ahli mesti dikekalkan sehingga ke hari akhir PRU-14.

Dewan Merdeka PWTC pada kali ini menyaksikan perwakilan UMNO bersumpah, berikrar dan berjanji – ‘perang mesti menang!’  – Sarawakvoice