SIBU: Remuk hati seorang suami apabila mendapati si isteri yang duduk di sebelahnya terkulai tidak bernyawa, selepas kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah jentolak di sini pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat insiden tersebut sekitar 6 pagi tadi dan sebuah jentera FRT dan ambulans EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, dengan kekuatan lapan anggota segera diatur gerak ke lokasi di Jalan Sungai Bidut di sini.

“Jentera kita telah tiba di lokasi sekitar jam 6.09 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang melanggar belakang sebuah jentolak yang diletakkan dibahu jalan.

“Terdapat dua mangsa terperangkap di dalam kenderaan tersebut dan pihak kita telah berjaya mengeluarkan mereka sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan awal.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Sibu oleh pasukan paramedik manakala isterinya, dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sibu dengan kenderaan polis,” katanya.

Kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Sarawakvoice