BINTULU: Seorang warga emas maut setelah lemas ditarik arus ombak sewaktu mandi di Pantai Tanjung Batu di sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 8 malam tadi.

“Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan lapan anggota segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu.

Kata Ling Hii, berdasarkan maklumat saksi,  mangsa yang dikenal pasti sebagai Ting Tung Sing, 66 tahun sedang mandi di tepi pantai sebelum tiba-tiba ditarik ombak ke tengah laut.

“Sehubungan itu, rakan-rakan mangsa terus menghubungi talian 999 untuk memohon bantuan.

“Tindakan pantas pihak kita telah berjaya menemui mangsa lelaki dewasa berbangsa Cina sekitar 30 meter dari gigi pantai.

Kata Ling Hii, pihaknya berusaha memberi rawatan awal kepada mangsa namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sekitar jam 9.10 malam, katanya. – Sarawakvoice