PUSA: Dirempuh ketika dalam perjalanan ke pekan, seorang warga emas akhirnya menemui ajal selepas hampir 11 jam cuba diselamatkan oleh pasukan perubatan di Hospital Sarikei malam tadi.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari semalam apabila mangsa, Muhamad Sulong Bujang, 71 tahun dalam perjalanan ke Pekan Pusa dari Jalan Feri-Pusa.

“Setibanya mangsa di persimpangan Sesco, dekat sini, dia telah dilanggar oleh sebuah motosikal dari arah berlawanan yang disyaki ditunggang secara melulu dan gagal dikawal oleh seorang lelaki berusia 29 tahun.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami luka parah terutama pada bahagian kaki, sebelum dikejarkan ke Hospital Sarikei.

Keadaan mangsa kata Bingkok, bagaimanapun semakin parah ketika dalam proses rawatan, sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11.30 malam tadi.

Siasatan awal katanya mendapati cuaca semasa kejadian adalah cerah dan permukaan jalan rata serta kering.

“Justeru kita akan menyiasat dari semua aspek termasuk kecuaian.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice