Sunday, August 14, 2022

Najib lancar buku tulisan Walfred Madius, dedikasi kepada Generasi TN50

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan buku tulisan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang antara lain berkisar tentang keperluan integriti dalam memacu sektor teknologi dan inovasi.

Buku bertajuk ‘Komunikasikan Sains Tulus Integriti Demi Kesejahteraan Masyarakat’ itu dilancarkan perdana menteri sempena Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global 2017 (GEC) di sini.

Madius dalam prakata buku setebal 307 muka surat itu berkata buku berkenaan merupakan koleksi kebanyakan penulisannya selama lebih dari setahun yang dimulakan atas kesedarannya bahawa dasar dan arah tuju kementerian mesti disampaikan kepada rakyat dengan jelas.

“Di sepanjang perjalanan ini, kita perlu sentiasa bermuhasabah untuk memastikan kita berada di laluan yang betul, sesuatu yang menjadi perbincangan utama dalam buku ini.

“Saya dedikasikan buku ini kepada ‘Generasi TN50’. Apakah impian rakyat Malaysia? Tanggungjawab kita kini adalah untuk melakukan yang terbaik untuk mereka,” tulisnya dalam buku terbabit.

Buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu menghimpunkan 42 buah artikel yang dikumpul dari Februari tahun lepas sehingga Jun tahun ini dan dijual pada harga RM40 senaskhah serta boleh didapati di kedai buku Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan laman web ITBM di www.itbm.com.my.

Najib sewaktu melawat gerai pameran sempena sidang kemuncak GEC itu turut melancarkan radio dalam talian pelbagai platform (eFM).

Pada majlis pelancaran radio berkenaan, Najib turut menyatakan lagu ‘Perfect’ yang dipopularkan oleh penyanyi kelahiran United Kingdom Ed Sheeran, sebagai lagu kegemarannya.

Perdana menteri turut menyampaikan Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2017 yang menyaksikan Tactical Communications Operations Management System (TACCOMS) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia menerima Anugerah Keseluruhan membawa pulang trofi dan dana berjumlah RM230,000.

Selain Anugerah Keseluruhan, MCY 2017 menyaksikan Ananocoat membawa pulang Anugerah Pencapaian Pengkomersialan; Palm Based Chicken Feed (Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan; Tigerus Cordyseps (Anugerah Usahawan Innovator Baharu); Terapi.my (Anugerah Usahawan Sosial dan TACCOMS sekali lagi dianugerahkan Anugerah Usahawan Penyelidik. — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru