PUSA: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam memberi jaminan bahawa beliau meneruskan perjuangan membela nasib masyarakat luar bandar, yang sebelum ini dipelopori Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, komitmen ini dibuktikan dengan 70 peratus daripada Bajet Negeri pada tahun hadapan, terarah kepada pembangunan, dengan sebahagian besarnya adalah untuk kawasan luar bandar.

Pada masa yang sama jelasnya, beliau turut meneruskan rundingan penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, yang sebelum ini dipelopori Tok Nan.

“Kita komited memperjuang segala hak Sarawak yang terhakis. Sekarang di bawah pentadbiran saya, kita memasuki fasa kedua, berkait dengan undang-undang.

“Semakan kita di London membuktikan di dalam fail sulit yang hanya dapat dibuka selepas 50 tahun, Kerajaan Koloni British ada memperuntuk Akta Perlombongan yang memberi kuasa perlombongan petroleum dan gas kepada kita 12 batu nautika dari pantai,” katanya ketika merasmikan Jambatan Rimbas di Pusa, pagi semalam.

Jambatan itu bagaimanapun dinamakan semula sebagai Jambatan Tandang Sari, sebagai mengingati legenda Dang Esah Tandang Sari, kisah gadis rupawan di Kerajaan Lama Pusa, yang kuburnya terletak berdekatan.

Kata Abang Johari lagi, biar apa pun orang kata, Sarawak beruntung kerana memiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan luar bandar negeri ini.

“Jambatan ini diluluskan oleh Perdana Menteri ketika beliau berada di dalam sampan untuk menyeberang sungai Rimbas. Di dalam sampan.

“Manakala Jambatan Batang Lupar diluluskan ketika berada di dalam kereta,” katanya lagi.

Projek pembinaan Jambatan Tandang Sari sepanjang 327 meter menelan kos RM46.98 juta dan telah siap pada 15 Mei lalu.

Dengan siapnya projek ini, ia memendekkan perjalanan dari Pusa lama ke Betong sejauh 10 kilometer atau 10 minit, dan dari Pusa lama ke Sarikei sejauh 30 kilometer atau 30 minit. – Sarawakvoice