Tuesday, June 28, 2022

Amerika punca Timur Tengah tidak stabil – Erdogan

Secara Rawak

ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawat beliau dari Rusia, Vladimir Putin, pada Isnin menyifatkan bahawa pendirian Amerika Syarikat (AS) dalam isu Baitulmaqdis menyebabkan ketidakstabilan berlaku di Timur Tengah serta tidak akan membantu menyelesaikan konflik Israel-Palestin, lapor agensi berita China Xinhua.

Bercakap pada sidang akhbar bersama selepas pertemuannya dengan Putin, Erdogan mengkritik Israel kerana telah mengambil kesempatan di atas pendirian AS dalam isu Baitulmaqdis dan menggunakannya sebagai satu peluang “untuk meningkatkan penindasan serta kekerasan terhadap penduduk Palestin.”

“Mustahil bagi sesiapa yang memiliki hati nurani, akhlak atau nilai mengabaikan pembunuhan yang telah dilakukan,” kata pemimpin Turki itu.

Beliau merujuk kepada insiden dua penduduk Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel dalam pertempuran yang berlaku pada hujung minggu dalam wilayah Palestin ketika penduduk Palestin memprotes pendudukan Israel dan keputusan Presiden AS Donald Trump minggu lepas yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Erdogan berkata Turki dan Rusia berkongsi pendirian berhubung keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, serta bakal menjalin kerjasama rapat dalam isu itu.

“Kami telah melihat pendekatan yang sama berhubung pendirian AS dalam isu Baitulmaqdis. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan hubungan kami dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Putin berkata keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel langsung tidak membantu menyelesaikan konflik Israel-Palestin dan telah menyebabkan situasi menjadi tidak stabil di Timur Tengah.

“Status Baitulmaqdis hendaklah diselesaikan menerusi hubungan langsung antara Israel dan Palestin,” kata Putin.

Erdogan berkata sebagai Pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Turki telah menjemput pemimpin Islam untuk mengadakan sidang kemuncak badan itu di Istanbul minggu ini.

“Saya percaya kami akan menghantar satu mesej yang amat keras dari sana,” katanya.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan hubungan dua hala serta pembangunan serantau, terutama di Syria, sambil berikrar untuk meneruskan kerjasama dalam proses politik Astana bagi menyelesaikan krisis Syria.

Menurut Erdogan, mereka merancang untuk mengadakan mesyuarat minggu depan di pusat peranginan Sochi di Rusia.

Ketika hubungan Turki dengan AS dan NATO tegang ekoran beberapa pertikaian, Ankara telah menjalin hubungan yang lebih erat dengan Rusia.

Kedua-dua pemimpin telah mengadakan pertemuan secara tetap sejak beberapa bulan lepas. Kali terakhir mereka bertemu ialah di Sochi pada 22 Nov bagi membincangkan isu Syria dengan Iran.  — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru