Monday, December 5, 2022

8 Perkara yang orang Sarawak, Sabah mesti tahu tentang Perjanjian Malaysia

Secara Rawak

KUCHING: Seorang sejarawan terkemuka Sarawak hari ini mengemukakan lapan perkara yang mesti diketahui rakyat di negara ini, khususnya anak Sarawak  dan Sabah tentang perjanjian Malaysia (MA) 1963.

Datuk Dr Sanib Said yang pernah penjadi Pengarah Muzium Sarawak dan Pengarah Institut Pengajian Asia Timur di Universiti Malaysia Sarawak berkata, tidak ada dokumen perjanjian berjudul MA63 yang sering diertikan sebagai Malaysia Agreement 1963.

Dokumen ini telah digubal dalam dua bahasa, Inggeris dan Melayu.

Katanya, dokumen itu juga sangat ringkas, hanya mengandungi 11 Perkara atau Articles dalam dua bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, tandatangan pihak yang terlibat; dan  Annex A – K

“Perjanjian ini tidak ada menyebut membentuk atau masuk Malaysia. Istilah yang digunakan adalah “perjanjian berkenaan Malaysia”. Dalam Bahasa Inggeris pula ” Desiring to conclude an agreement relating to Malaysia; Agree as follows:”,” katanya dalam blognya sanibsaid.com.

Beliau juga mengemukakan satu soalan  “Adakah Sarawak (dan Sabah) koloni atau negeri yang istimewa dalam perjanjian ini?

Perkara I dalam perjanjian itu menyebut: “Tanah2 Jajahan Borneo Utara dan Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah disekutukan dengan Negeri2 Persekutuan Tanah Melayu yang ada sekarang sebagai Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura mengikut surat2 perlembagaan yang di-kembarkan kepada Perjanjian ini dan Persekutuan itu kemudian daripada itu hendaklah dinamakan ‘Malaysia’.”

Berdasarkan kenyataan berkenaan, ujarnya, jelas bahawa tidak ada keistimewaan Sarawak dan perkara ini juga terdapat dalam dokumen Pengisythiraan Malaysia, 16 September 1963.

“Keistimewaan yang ada ialah tentang 18 perkara yang berjaya dirundingkan oleh Sarawak seperti yang dicatatkan dalam IGC Report (Inter-Governmental Report). Sarawak tidak membuat memorandum tuntutan seperti Sabah yang menghantar 20 Pekara Tuntutan,” tegasnya.

Sanib juga berkata, tidak adalah istilah “membentuk” ataupun “masuk” Malaysia digunakan dalam perjanjian ini.

“Perjanjian ini mengunakan istilah atau perkataan “hendaklah disekutukan dengan Negeri2 Persekutuan Tanah Melayu yang ada sekarang …” dan dalam Bahasa Inggeris pula: ” … shall be federated with the existing States of the Federaton of Malaya …”.

Dalam erti lain, kata Sanib,  tiada perbezaan tentang taraf negeri-negeri dan bukan juga menyertai Persekutuan Tanah Melayu.

Tambahnya lagi, Perkara II memeterai bahawa apabila Malaysia rasmi menjadi sebuah persekutuan pada 31 Ogos 1963 seperti yang dijadualkan, maka hari berkenaan “digelar ‘Hari Malaysia’”.

“Jika diteliti tidak ada disebut tentang hari merdeka pada tarikh tersebut,” katanya.

Beliau berkata lampiran/Annex A – K adalah lebih tebal daripada perjanjian sendiri yang menurunkan perincian tentang kuasa dan pentadbiran yang kemudian digubal ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

“Perincian di sini sangat penting sama ada semuanya telah dipatuhi dalam jentera pentadbiran, khususnya jabatan-jabatan Persekutuan di Sarawak,” kata Sanib lagi.

“Sesungguhnya Perjanjian Malaysia ini adalah dokumen yang sangat penting,” katanya.

Isu ini kembali panas dan mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila Speaker Dewan Rakyat  Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, semua negeri dalam Malaysia mempunyai taraf sama-rata.

Tafsiran ini bertentangan dengan pendirian sebilangan pemimpin dan penduduk Sarawak dan Sabah.

“Pertelagahan ini jika diteliti berpunca dari soalan wartawan yang mentafsir bahawa Pandikar Amin tidak melihat Perjanjian Malaysia sebagai dokumen penting…,” katanya.

Ekoran kenyataannya jika Ketua Menteri Sarawak tidak bersetuju sepuluh kali dengannya, beliau tidak bersetuju seratus kali dengan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru