Monday, August 15, 2022

Penjualan air zam zam di Malaysia haram, tindakan undang-undang boleh diambil

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu larangan penjualan air zam-zam di mana-mana kedai termasuklah kedai-kedai buku di sekitar Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia, seperti yang dikeluarkan  Kedutaan Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan melaksanakan penguatkuasaan mengenainya.

Air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

Sehubungan itu, penjualan air zam zam tidak dibenarkan di Malaysia.

Dalam hal ini, kata Dr Noor Hisham, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah bersetuju supaya KKM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam  memandangkan ia di bawah bidang kuasa KKM.

“Selaras dengan ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983.

“Hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan  sejak tahun 2012 sehingga 31 Oktober 2017 di seluruh negara, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 telah dirampas.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru