Tuesday, September 27, 2022

Najib: Kalau ada hak Sarawak, Sabah yang kita terambil, kita nak pulang balik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak semalam menegaskan semula bahawa beliau bersedia mengembalikan hak Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan jika hak berkenaan ada yang terambil sejak 54 tahun lalu.

“Kalau ada yang tak betul, terambil, kita nak pulang balik,” katanya dalam ucapan Penggulungan Presiden di Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Sambil jelas menyindir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah selama 22 tahun, Najib yang juga Perdana Menteri berkata, jika terdapat pihak yang membincangkan isu terbabit ketika itu, mereka diancam ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Di bawah akta itu, sesiapa yang berusaha untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak atau mana-mana negeri daripada persekutuan boleh dikenakan tindakan.

Elemen berkenaan kini dimasukkan ke dalam Akta Hasutan yang dipinda pada 2012 selepas ISA dimansuhkan.

“Dulu bincang MA63, dikenakan di bawah ISA, sekarang boleh bincang,” katanya.
Isu MA63 hangat dibincangkan sejak beberapa tahun lalu ketika Sarawak berusaha untuk mendapatkan balik haknya yang terhakis.

Najib turut mengakui Sarawak dan Sabah sebagai simpanan tetap Barisan Nasional (BN) ketika parti itu berdepan dengan cabaran besar dalam pilihan raya umum ke-14 yang disifatkannya sebagai bapa segala pilihan raya.

Tanpa kemenangan besar di kedua-dua negeri terbabit, kedudukan BN berisiko besar.

Kedua-dua negeri mempunyai 56 kerusi Parlimen keseluruhannya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru