Monday, August 15, 2022

Jangan libas sesama sendiri menjelang PRU14 — Zahid

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Jangan libas sesama sendiri. Sebaliknya sebagai satu pasukan, harus saling membantu satu sama lain, terutamanya pada hari pilihan raya.

Itu amanat yang diberikan Timbalan Presiden “de facto” UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra sebentar tadi.

Tegasnya, jentera parti perlu menghidu terlebih awal sebarang isu dan pembohongan yang dimainkan pembangkang, terutama di media sosial.

“Sediakan jawapan dan serang balas setiap fitnah dan tohmah.

“UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial,” tegasnya.

Pada pilihan raya lalu, imbasnya, pembangkang telah menggunakan taktik SLMA atau Surprised Last Minutes Attack.

“Kejutan serangan di saat akhir ini mampu mengalih sokongan pengundi atas pagar dan ‘persuadable voters’, hingga ada orang kita yang terperangkap dengan percaturan mereka.

Dalam ucapannya juga beliau mengingatkan parti yang memiliki tiga juta ahli itu agar tidak mudah berasa selesa dalam pilihan raya kelak jika menghadapi pertembungan lebih daripada dua penjuru.

“Kerana di sesetengah kawasan ia mungkin tidak akan menguntungkan BN. Parti harus diperkuat dari dalam, bukan mengharapkan faktor luaran.

“Pembangkang akan menggunakan apa sahaja pendekatan untuk menang. Mereka hidup atas isu sedangkan Barisan Nasional mengamalkan ‘agenda centric’,” tegasnya lagi.

Beliau juga mahu ahli-ahli parti itu bergerak sebagai satu pasukan bermula sekarang.

“Bergeraklah dengan penuh keyakinan, kerana kita berada di landasan yang betul. Bertarunglah dengan semangat juang dan tekad yang tinggi, bahawa kita telah berusaha dan merancang. Faiza Azamta, Fatawakkal Alallah!

Beliau juga tidak mahu ada ahli yang merajuk dan tersentap hati jika tidak terpilih sebagai calon.

“Berilah sokongan padu kepada kepada sesiapa saja yang terpilih sebagai calon. Jadilah seorang pengikut yang baik, kerana pemimpin yang baik bermula dari pengikut yang baik,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru