Walau diserang, Azmin doakan hati Azwan terbuka sayangi adik-beradik

KLANG: “Saya sentiasa doakan Azwan walaupun dia menyerang saya,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali memetik laporan Sinar Harian.

Azmin merujuk kepada gertakan dan tudingan adiknya yang juga artis penuh kontroversi, Azwan Ali.

“Insya-Allah semoga Allah akan menyelamatkan dan membuka pintu hatinya untuk terus menyayangi saya dan adik-beradik lain,” tambah Azmin dan mendoakan kebaikan buat adiknya itu meskipun Azwan mahu menjatuhkannya dalam politik.

Di luar Perhimpunan Agung Umno (PAU), Azwan bekas pengacara, mencabar Azmin bersumpah laknat membuktikan dirinya bersih.

Azwan yang tampil mengejut berjubah merah pada PAU bersama pemimpin Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos yang juga musuh politik abangnya di Selangor.

Azwan hadir atas undangan Jamal itu mencabar Azmin, “kau (Azmin) kenapa takut buat sumpah laknat, mari sini aku cabar kau, dan itu harus berlangsung dalam sebuah masjid bersaksikan tujuh imam, ini syarat saya bukan syarat dia,” katanya.

Azwan dalam kenyataannya turut mendakwa wartawan yang tidak disebutkan namanya, “tahu rahsia” Azmin.

Azwan sebelum ini berkata beliau mahu menyokong penuh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos bertanding melawan Azmin pada PRU14. – Sarawakvoice