Umno akan pertahankan tanah air, kerajaan daripada diambil lawan

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan para pemimpin dan ahli Umno  supaya lekas-lekas sedar bahawa Perhimpunan Agung  Umno dan pilihan raya umum (PRU) ke-14, bukan hanya demi Umno, tetapi juga untuk Barisan Nasional (BN) bagi menentukan destini masa depan umat dan negara.

Justeru beliau mengajak ahli dan pemimpin Umno supaya merenungkan sejenak apa yang bakal berlaku seandainya Umno, BN dan negara ini tumpas ke tangan pembangkang.

“Apakah mungkin kita dapat bertemu lagi di Dewan berkeramat ini pada masa akan datang?,” tanya Najib yang juga Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2017 di PWTC, di sini.

“Mungkinkah dibenar berkumandangnya lagi lagu-lagu patriotik Umno lambang bangsa bertuah ini? Bolehkah panji-panji Umno terus berkibar?,” tanya beliau.

“Mampukah kita menahan rasa sebak dan sedih di dada, apabila kita tidak lagi bisa berkumpul seperti ini, dalam satu keluarga besar sebagai adik beradik Umno,” tanyanya lagi.

“Masa itulah,baru kita mengerti, baru kita faham akan nikmatnya sebuah kesatuan, mulianya hidup dalam perjuangan di bawah rimbunnya payungan parti Umno,” ujarnya.

Namun, tegasnya, ketika itu, segalanya sudah tidak bererti lagi kerana riwayat Melayu sejati sudah tamat.

“Pada waktu itulah, apabila cucu-cicit keturunan kita bertanya, kenapakah kita kecundang dan membiarkan semua ini berlaku. Jawapannya, hanyalah dengan raut wajah sejuta penyesalan, sambil berlinangan air mata…,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan jika ahli Umno tidak mahu kejadian berkenaan menimpa, mereka perlu berjanji untuk memastikan pembangkang dapat ditewaskan dalam PRU nanti.

“Saya pinta kepada semua, kalau kita tidak mahu semua itu terjadi, maka bersumpah dan berjanjilah bahawa biar petir menyambar di langit, hatta tertangkup langit dan bumi, sampai ke tetesan darah yang terakhir,  kerajaan ini tetap kita pertahankan, tanah air ini tidak boleh diambil lawan,” tegasnya.

Jadinya, ujarnya,  beliau tidak mahu lagi Umno  mengulangi kesilapan dan kelalaian yang berlaku pada PRU ke-13. – Sarawakvoice