Tiada petunjuk ditemui pada hari ke-3 kehilangan warga emas nyanyuk dan berpenyakit jantung di Kampung Kuap

KUCHING: Memasuki hari ketiga dilaporkan hilang, pihak bomba dan penyelamat terus mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dikhuatiri berhadapan masalah amnesia atau nyanyuk dan sakit jantung.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, gerakan dimulakan sekitar jam 7.55 pagi tadi, dengan fokus pencarian meliputi kawasan di sekitar Kampung Kuap, dan radius pencarian 5km dari rumah mangsa hingga ke kawasan kebun.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, termasuk anggota STORM dan MUST dari Balai Serian dan Batu Lintang terlibat dalam SAR ini.

“Mereka turut dibantu oleh dua penduduk kampung, namun sehingga awal petang ini tiada sebarang petunjuk ditemui,” jelasnya lagi.

Pihak bomba mula menerima maklumat tentang kehilangan mangsa sekitar jam 11.47 pagi Selasa lalu, dengan kejadian dikatakan berlaku di Batu 10, Kampung Kuap, Padawan.

Identiti mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Ambing Lumbu, 78 tahun. – Sarawakvoice