Sarawak Energy tingkatkan peruntukan biasiswa kepada RM8 juta tahun hadapan — Sharbini

KUCHING: Kumpulan Sarawak Energy menyasarkan pemberian biasiswa berjumlah RM8 juta pada tahun hadapan berbanding RM5 juta yang diperuntukkan oleh Kumpulan tersebut pada tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharbini Suhaili.

Katanya, ia selari dengan komitmen dan inisiatif Kumpulan tersebut dalam membantu Kerajaan Negeri  membangunkan modal insan berpendidikan dan berpendapatan tinggi.

“Ketika ini, sebanyak 70 peratus daripada biasiswa ini diperuntukkan kepada kakitangan Sarawak Energy bagi menarik minat mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, selain melabur untuk masa depan mereka.

“Manakala 30 peratus lagi merupakan  biasiswa yang menyokong usaha tanggungjawab sosial korporat khasnya untuk komuniti, dan tumpuan kepada anak-anak kakitangan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian biasiswa kepada 14 kakitangan Sarawak Energy Berhad yang ditawarkan untuk mengikuti program pengajian secara separuh masa pada tahun ini.

Secara keseluruhan katanya, Kumpulan Sarawak Energy telah menganugerahkan biasiswa kepada 99 penerima, dengan 85 daripadanya merupakan pelajar dari Sarawak.

Mengenai pemberian biasiswa kepada kakitangan Kumpulan itu, beliau menjelaskan ia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan mereka selaras Fokus Utama Kecemerlangan Pengurusan Bakat Sarawak Energy.

Sarawak Energy merupakan sebuah syarikat yang mengendalikan pembangunan utiliti yang memberi khidmat kepada 650 ribu pelanggan serta 2.6 juta penduduk di seluruh negeri.

Kumpulan Sarawak Energy kini mempunyai sebanyak 5,000 kakitangan yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang. – Sarawakvoice