Najib, Anwar main balas pantun politik pula!

KUALA LUMPUR: Menyampaikan ucapan dasar “Umno pelaksana wasiat pusaka, harapan sejati kesejahteraan”, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengambil kesempatan “membeli” pantun tertangguh yang pernah “dijual” oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Sebelum ini, Najib bersama isterinya pernah melawat Anwar di hospital.

Anwar kemudiannya “menjual pantun” selepas menerima lawatan Najib itu seperti berikut:

Tuai padi antara masak
esok jangan layu-layuan
ziarah kami antara nampak
esok pilihan raya ‘lawan tetap lawan’.

Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2017, itu baru “membeli” pantun Anwar tersebut dengan menjawabnya:

Burung merpati terbang sekawan
hinggap seekor di atas dahan
kita sahut ‘lawan tetap lawan’
di pilihan raya bertarunglah seperti anak jantan.

Berucap di Dewan Merdeka PWTC pada Khamis
Najib menyentuh “kisah” berkaitan Anwar, “saya ziarah ke hospital melawat beliau yang sedang sakit, atas sifat kenalan lama.

“Saya hanya melawat, sebab itu saya bawa isteri bersama, tapi keikhlasan kami itu, tampaknya diperli di pantun pula,” kata Najib. – Sarawakvoice