Mahathir sudah melampau,hanya utamakan tembolok peribadi dan keluarga, kata Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dengan kata-kata pedas dan sinis menyelar sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika menjadi Presiden Umno  selama 22 tahun sering mengingatkan orang Melayu supaya tidak mudah lupa, telah bersikap melampau.

“Bercakap tentang Mahathir pula, dulu di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa Melayu mudah lupa, namun pada kita, this man has crossed the line,” katanya.

Najib yang juga Presiden Umno di pentas Perhimpunan Agung Umno 2017 di PWTC di sini hari ini berkata, Dr Mahathir tergamak bersubahat dan bersekutu, dengan ‘musuh politik’ dan ‘musuh prinsip’ beliau selama puluhan tahun yang lalu.

“Hanya-sanya untuk memenuhi tembolok agenda kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata,” tegasnya.

Sememangnya, ujar Najib, pepatah lama sudah menyebut, mana mungkin minyak dan air bersatu.

Kata Perdana Menteri, Melayu mudah lupa itu merujuk kepada diri Dr Mahathir sendiri, kerana, orang yang tetap berpegang kepada roh dan falsafah perjuangan parti seperti kita semua, Insya-Allah tidak sesekali menjadi Melayu yang mudah lupa seperti mereka!

Najib turut mengkritik Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana gagal mengadakan mesyuarat, lalu bagaimana parti sedemikian dapat diharapkan untuk menguruskan negara.

“Mudah kata, kalau nak menguruskan hal ehwal mesyuarat pun gagal, lagu mana, nak uruskan negara?,” tanya beliau.

“Cuma, bila sampai pilihan raya nanti, kalau masih belum selesai lagi hal mereka, janganlah nak tuding kesalahan kepada orang lain, terutamanya Kerajaan, kan?,” tegasnya.

Selain itu, katanya, PPBM pimpinan Dr Mahathir yang mendakwa berjuang untuk orang Melayu dan Islam, “tetapi berpakat dan sedang dijadikan ‘perkakas’ oleh DAP yang terang-terang anti-Melayu dan Islam. – Sarawakvoice