Dahului kepentingan parti punca PBB kuat –Awang Tengah

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua yang terbesar dan terkuat di negara ini kerana sikap pemimpinnya yang sentiasa mendahulukan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi.

Katanya, kerana perjuangan itulah maka negeri ini dapat dibangunkan dan dimajukan dengan pesat.

“Malah peralihan kuasa sebanyak dua kali dalam tempoh tiga tahun berlaku dengan begitu lancar, daripada Tun Abdul Taib Mahmud kepada Tan Sri Adenan Satem, dan seterusnya kepada Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Perwakilan PBB Cawangan Sebuyau di sini semalam.

Awang Tengah yang juga Pemangku Timbalan Presiden PBB dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, kekuatan lain parti ini termasuklah “semangat kesetiaan” ahlinya yang tiada tolok banding.

“Mereka setia kepada parti, mereka setia kepada kepimpinan parti dan mereka setia kepada perjuangan parti.

“Dan kejayaan masa depan kita di Sarawak bergantung kepada kesetiaan perjuangan ini.

Tegasnya, selagi PBB dan pemimpinnya kukuh bersatu, berlaku adil, menunaikan tanggungjawab dan inklusif kepada semua kaum, agama dan wilayah, parti ini akan kekal berkuasa.

“Kita juga perlu pastikan kekuatan politik akan membawa perubahan kepada negeri ini secara berterusan.

“Kerana itu kita perlu menang pilihan raya umum yang akan datang dan memberI sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mandat lima tahun lagi,” katanya.

Pada majlis yang sama, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri turut melahirkan kesediaan untuk mempertimbang permohonan mewujudkan Estet Perindustrian di Sebuyau.

“Kita akan pertimbangkan agar ia dapat menyokong industri di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya selain mengembangkan industri kecil di kawasan sekitarnya,” katanya lagi. – Sarawakvoice