BN kalah:  Melayu, Bumiputera akan merempat, dicelakan sehina-hinanya sehingga terbangsat di tanah air sendiri, kata Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi amaran kepada pemimpin dan ahli Umno dan masyarakat Melayu tentang nasib yang akan menimpa parti itu, dan negara jika Umno tewas dalam pilihan raya akan datang.

Oleh itu, kata Najib yang juga Presiden Umno: “Ketahuilah, pilihan raya kali ini, meletakkan kita di satu persimpangan pemutus lagi monumental, sebabnya di tangan kita adalah pilihan, yang akan menjadi penentu kepada  nasib negara.”

“Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tak ada tawar-menawar lagi,” tegasnya dalam Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Umno 2017 di PWTC di sini, hari ini.

“Sesungguhnya, tidak terbayang oleh kita, mimpi ngeri dan nasib buruk yang bakal menimpa,” katanya lagi..

“Pertamanya, sanggupkah kita membiarkan agama Islam dan syiarnya, diperlekeh dan diperhinakan di tanah ini? Keduanya, tergamakkah kita, melihat kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia, bahkan akan didurhakai, manakala, institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti MARA, Felda, serta Tabung Haji serta-merta pula nanti akan disisihkan. Begitulah juga dengan nasib UiTM, institusi kebanggaan Umno Bumiputera, yang pastinya akan digagalkan objektifnya begitu saja, sekiranya pihak lawan memerintah,” katanya.

“Sementelahan itu, seandainya pembangkang mengambil alih, para penjawat awam, yang menjadi tulang belakang kerajaan selama ini, semestinya  tanpa lengah-lengah lagi, akan dikuncupkan jumlahnya,”’ kata Najib.

“Dan sudah tentu sekali, kesumat pihak lawan, sejak sekian lama, terhadap keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera, sebagai leluhur jati di pertiwi ini, daripada bangsa yang mulia lagi merdeka, akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah keindukannya,” katanya.

“Bahkan, lebih buruk dari itu, akan merempat, dicelakan sehina-hinanya sehingga terbangsat di tanah air sendiri,” tegasnya lagi.

Justeru, tambah Najib, ahli dan pemimpin Umno perlu lekas-lekas sedar bahawa, Perhimpunan Agung dan pilihan raya kali ini, bukan hanya demi Umno, tidak juga untuk Barisan Nasional,dan negara pada keseluruhannya. – Sarawakvoice