Azwan sokong penuh Jamal lawan abangnya Azmin PRU14

KUALA LUMPUR: “Saya mahu ingatkan Azmin jangan ingat saya berpura-pura. Jangan ingat saya dapat dedak, barua Umno dibayar juta-juta. Tidak, Allah yang mengatur saya…,” kata Azwan Ali, pengacara dan penghibur kontroversi yang muncul mengejut buat pertama kali pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017.

Azwan muncul mengejut bersama pemimpin yang juga kontroversi Datuk Seri Jamal Md Yunos pada PAU berkenaan atas ajakan pemimpin baju merah itu.

Adik Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali itu yang hadir bersama Ketua Umno Sungai Besar di PWTC, dalam kenyataannya meluahkan “dendam hampir lima tahun” terhadap abangnya.

Azmin berjanji sedia mendedahkan “perkara besar” berkaitan Azmin sebagai “hadiah untuk Datuk Seri Najib Razak”.

Jamal terkenal sebagai seteru politik Azmin di Selangor.

Beliau pernah menganjurkan demonstrasi menentang Azmin dengan pelbagai gimik antaranya memecah botol arak, tampil di pejabat kerajaan dengan bertuala, mengusung keranda dan sebagainya untuk menarik perhatian penyokongnya.

Azwan sebelum ini berkata beliau mahu menyokong penuh Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos bertanding melawan Azmin pada PRU14.

Di dunia politik, Azwan pernah menonjol di samping adiknya Ummi Hafilda semasa berlaku krisis politik membabitkan mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997.

Ahli keluarga Azmin dan Azwan serta Ummi Hafilda beberapa kali dilihat “terkait” beberapa krisis politik di negara ini selain terlibat krisis keluarga di media. – Sarawakvoice