Angin kencang badai perairan Sarawak, Sabah; empat sekolah di Betong dan Kanowit dikejutkan banjir kilat

KUCHING: Angin kencang Monsun Timur Laut dijangka terus membadai kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-layang sehingga Sabtu depan, dengan kelajuan 50-60 kmsj, menyebabkan kawasan tersebut berhadapan ombak setinggi 4.5 meter.

Berikutan angin kencang dan ombak besar yang berbahaya kepada aktiviti perkapalan ini, Jabatan Meteorologi Malaysia minggu ini mengeluarkan amaran Kategori Kedua.

“Amaran Kategori Pertama dengan angin sekencang 40-50 kmsj dan ombak setinggi 3.5 pula dijangka membadai timur Samui, timur laut Tioman, utara Bunguran, Reef South, barat laut Labuan dan Palawan.

“Keadaan ini menimbulkan bahaya kepada bot-bot kecil serta tidak digalakkan sebarang aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin berkata, sehingga 10 pagi ini, empat buah sekolah di negeri ini telah dinaiki air berikutan curahan hujan luar biasa di satu dua tempat.

“Sekolah-sekolah terjejas ialah SK Ulu Bawan di Kanowit, serta tiga sekolah di Betong iaitu SK Nanga Ludang, SK Sebemban dan SK Bakong.

“Seramai 417 murid dan 60 guru terjejas namun keadaan terkawal kerana sekolah sedang bercuti.

“Sekolah bagaimanapun beroperasi seperti biasa kerana air yang naik di antara satu hingga lima kaki malam tadi mula surut pada pagi ini.

Air pasang besar dijangka berlaku pada jam 7.56 malam ini, dengan anggaran ketinggian 6.2 meter, jelasnya lagi. – Sarawakvoice