Dua calon PRS bersaing di Selangau ganti Entulu

SIBU: Dua calon kini dipercayai berentap untuk  tampil di kerusi Selangau dalam pilihan raya umum (PRU) Ke-14, di sebalik desas-desus bahawa penyandang Datuk Joseph Entulu Belaun tidak lagi dicalonkan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Menurut sumber akar umbi, dua nama yang telah dikemukakan ialah Rita Sarimah Patrick Insol dan Edwin Banta.

Rita, 56, seorang ahli perniagaan, merupakan anak tempatan, lulusan undang-undang dari Universiti Malaya dan juga memiliki sarjana  pengurusan perniagaan dari Heriot-Watt University, United Kingdom.

Manakala Edwin, 52, ahli perniagaan, juga anak tempatan merupakan Ahli Majlis Tertinggi PRS.

Sebelum ini empat nama disebut-sebut sebagai pengganti Entulu, termasuk seorang pegawai daerah dan seorang pensyarah universiti tempatan.

Penganalisis politik percaya jika Entulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri digugurkan, kemungkinan ini akan mencetuskan pemberontakan di peringkat akar umbi, sehingga boleh mendatangkan risiko kepada Barisan Nasional. – Sarawakvoice