“Arwah ayah saya meninggal ketika berusia 92 tahun. Dan kita kena ingat bahawa ayah saya bukanlah seorang doktor perubatan seperti saya sekarang”.

Kata-kata berunsur humor tersebut keluar dari mulut Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa majlis yang pertama kali menghimpunkan para pemimpin utama kerajaan dan parti pembangkang Melayu Islam khusus PAS dan PSRM di pertengahan tahun 1990-an ketika himpunan menentang kezaliman Israel terhadap Palestine yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Para hadirin yang berada di meja VVIP bersama-sama Tun Mahathir ketika itu semuanya secara spontan ketawa.

Walaupun sekadar bahan lawak pada masa itu, perjalanan masa menunjukkan bahawa Tun Mahathir percaya bahawa keturunannya panjang umur dan dia seolah-olah menemui formula bagaimana untuk hidup dengan lebih lama berbanding orang lain.

Tun Dr. Mahathir memperuntukkan tiga perempat daripada usianya bergelumang dalam kancah politik. Sejarah memperlihatkan bahawa Tun Dr. Mahathir adalah tokoh politik yang paling controversial di Malaysia dan di rantau ini.

Karier politiknya sarat dengan naratif bersifat konflik dan perkelahian. Lawannya bukan orang sembarangan.  Senarai musuhnya agak amat panjang merangkumi tiga presiden parti beliau sendiri. Di sana terdapat juga barisan Sultan, Ketua Hakim Negara, dua mantan PM, dua timbalan PM dan seorang naib presiden parti.

Adakah berkelahi dan berkonflik menjadi sebahagian daripada formula Tun Dr. Mahathir untuk memanjangkan usia mengatasi jangka hayat arwah ayahanda beliau?

Beberapa tahun kebelakang, Tun Mahathir kembali menyinsing lengan bertarung dalam kancah politik. Kali ini beliau menyertai barisan parti pembangkang yang menubuhkan Pakatan Harapan.

Menariknya ialah kumpulan  yang selama ini tidak pernah setuju dengan sebarang idea dan polisi yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir sewaktu beliau menjadi PM, kini mengubah haluan dan bersetuju hampir dalam setiap apa sahaja yang diperkatakan oleh Tun Mahathir.

Beliau dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan. Dan beberapa hari lalu Pakatan Harapan, sebulat suara pula mencalonkan Tun Mahathir sebagai calon PM sekiranya mereka menang dalam PRU-14 kelak.

Siapa menyangka pada usia 92 tahun Tun Mahathir masih dicalonkan sebagai bakal PM?

Sekiranya Tun  Mahathir masih kekal bersama Umno, ramai percaya bahawa mati hidup semula sekalipun Umno tidak sekali-kali akan bertindak mencalonkan Tun Mahathir sebagai bakal PM!

Liabiliti politik yang dibawa oleh Tun Mahathir menggunung tinggi. Namun kepada Pakatan Harapan, semua itu tidak menjadi hal sangat asalkan Tun Mahathir  masih boleh melepaskan tembakan meriam yang bisa memecahkan benteng dan kubu BN.

Pentas politik kepembangkangan menjadi talian hayat kepada Tun Mahathir dan dengan suntikan baru sebagai calon PM,  Tun  Mahathir boleh terus dibuai angan-angan untuk kembali menjadi PM Malaysia.

Di Zimbabwe, Robert Mugabe yang seangkatan era kebangkitannya dengan Tun Mahathir dipaksa turun daripada tahkta kekuasaan dengan cara yang hina. Ironinya, di Malaysia, pemimpin parti pembangkang yang selama ini amat membenci Tun Mahathir kini bertukar haluan dan bersedia untuk kembali mengangkat beliau ke takhta kekuasaan.

Adakah ini cara halus pemimpin parti pembangkang menghina negarawan yang tidak pernah kenal erti puas dalam mengejar kuasa? – Sarawakvoice