Thursday, September 29, 2022

Kenapa Pandikar bercanggah pendirian isu MA63 dengan PM Najib?

Secara Rawak

KUCHING: Kenyataan dan pendirian Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jelas bercanggah dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib sebelum ini memberi lampu hijau menyemak isu terhakisnya hak Sarawak dan Sabah dalam MA63 demi kepentingan kedua-dua negeri ini.

Lebih-lebih lagi apabila Pandikar mahu berdebat dengan pemimpin tertinggi negeri ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkaitan MA63, ia jelas melanggar semangat “kesediaan” Najib mendengar serta memulihkan hak terhakis dan kepentingan dua negeri di Borneo ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan kenyataan Pandikar amat bercanggah dengan kemahuan orang Sabah sendiri berkaitan isu MA63 ini.

Awang Tengah berkata, sudah berkali-kali Najib menyebut bahawa beliau sedia mengembalikan hak terhakis Sarawak dan Sabah semalam ini.

Berucap merasmikan Majlis Penangguhan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan dan Gedong, Awang Tengah yang juga pemangku Timbalan Presiden PBB berkata terserah kepada orang Sabah sendiri menentukan pendirian terhadap kenyataan Pandikar.

Menurut Awang Tengah, Sarawak akan terus memperjuangkan menuntut hak serta kepentingan negeri ini yang terhakis sama ada sengaja atau tidak sengaja selama ini.

Bagi Awang Tengah, kedudukan Abang Johari meyakinkan serta signifikan sebagai anak mantan Gabenor pertama Sarawak, Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapi’ee antara individu yang menandatangani MA63 dahulu.

Awang Tengah berjanji terus memberi sokongan kuat kepada Abang Johari, lebih-lebih lagi apabila banyak bukti memihak ditemui oleh pasukan yang menyiasat isu ini semasa lawatan di London.

Awang Tengah mengaku berkesempatan meneliti fail serta bukti jelas berkaitan hak Sarawak semasa menyertai rombongan ke London. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru