Friday, December 2, 2022

Cabaran Pandikar satukan rakyat S’wak dari semua warna kulit, parti politik berbeza

Secara Rawak

KUCHING: “Terima kasih (Pandikar) kerana secara tidak sengaja dan secara tidak langsung menyatukan penduduk Sarawak lalu membangkitkan ‘Semangat Sarawak’ maju ke depan mempertahan dan menyokong pemimpin tertinggi Ketua Menteri Abang Johari,” kata Timbalan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos.

“Ia kemarahan tulen semua orang Sarawak terhadap seseorang yang tidak menunjukkan penghormatan terhadap Sarawak atau Ketua Menterinya,” ujar Minos menambah, kemarahan tersebut kuat dan jelas, tidak berpura-pura dan bukan diada-adakan.

Menurut Minos, di sebalik semua itu katanya, ia membangkitkan “Semangat Sarawak’, iaitu keinginan tulen penduduk Sarawak untuk mendapat layanan sama rata dan adil dengan rakyat di Semenanjung.

Dalam kenyataan medianya, beliau menyifatkan tindakan  Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memperkecil Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara tidak langsung menyatukan penduduk Sarawak tanpa mengira warna kulit serta latar belakang politik.

Tindakan seterusnya Pandikar mencabar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berdebat dengannya mencetus kemarahan rakyat dan diibaratkan oleh Minos sebagai menjolok sarang tebuan di Sarawak.

Bagi Minos, rakyat Sarawak bersatu apabila parti politik dari kerajaan dan pembangkang; Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik (PDP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parti Bansa Dayak Sarawak Baru dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), serta individu berlainan warna kulit tampil mencemuh pendirian Pandikar.

Menurut Minos, penduduk Sarawak kini menyedari hak mereka yang perlu dituntut dan menyifatkan tuntutan tersebut adil dan sah serta perlu ditangani kerajaan Persekutuan.

Bagi Minos, penduduk Sarawak sebagai rakyat Malaysia menghormati serta mencintai negara ini tanpa soal.

Namun, perkara yang berbangkit menurut beliau, warga Sarawak sebagai rakyat Malaysia mahukan keadilan dan kesaksamaan serta penghormatan dan penghargaan.

Sebelum ini, Minos menyelar Pandikar mengatakan beliau tidak layak berdebat dengan Abang Johari.

Minos berkata rakyat Sarawak tidak akan meninggalkan Ketua Menteri berseorangan, sebaliknya berdiri teguh di belakang beliau sambil meminta Pandikar berundur dan tidak campur tangan urusan Sarawak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru