Benarkah Sabah, Sarawak dianak tiri selama ini?

Dalam dua hari ini dua orang pemimpin utama negara memberi peringatan: Jangan bermain api.

Pertama, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kedua, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tentu ada sebab mereka memberi peringatan dan amaran tersebut.

Api tika kecil jadi kawan, apabila besar jadi lawan.

Api dapat digunakan untuk tujuan baik, tetapi apabila sudah semarak, bawa kemusnahan.

Sesetengah pihak di Sarawak dan Sabah untuk beberapa waktu sebenarnya bermain api.

Ada yang menuntut supaya Sabah dan Sarawak keluar Malaysia.

Ada yang menghasut supaya kerajaan persekutuan ditentang.

Ada yang berkata bahawa Sabah dan Sarawak diabaikan oleh kerajaan persekutuan selama 54 tahun sejak Malaysia ditubuhkan pada 1963.

Ada yang kata kedua-dua negeri itu dianaktirikan.

Ini satu tuduhan yang berat.

Ada gerakan tertentu yang cuba menghasut rakyat Sabah dan Sarawak dengan  slogan “Sabah Untuk Sabah” dan “Sarawak Untuk Sarawak”.

Ini jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Malah, satu tindakan subversif.

Jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih ada, golongan ini sebenarnya boleh dikenakan tindakan keras.

Kini, mereka jangan lupa selepas pindaan pada 2015, elemen membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Malaysia dimasukkan ke dalam Akta Hasutan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak tidak boleh keluar dari Malaysia.

Itulah sebabnya mungkin Speaker Dewan Rakyat tan Sri Pandikar Amin Mulia menulis buku dengan tajuk ‘Berpisah Tiada’.

Hakikatnya, kebanyakan tuduhan itu adalah tidak berasas, malah emosi.

Siapa kata, Sabah dan Sarawak diabaikan selama ini?

Barangkali ada baiknya kalau kerajaan persekutuan mendedahkan betapa banyaknya peruntukan yang telah disalurkan ke kedua-dua negeri ini sejak 54 tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri malam tadi memberi amaran keras kepada pihak tertentu supaya tidak bermain api dan melakukan tindakan subversif

Naib Presiden Umno itu berkata: “Tindakan subversif ini berlaku apabila adanya pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik bankrap idea dan muflis jiwa. Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Persidangan Pergerakan Sayap Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Bak kata orang tua-tua ‘bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang’. Janganlah sampai kita menanggung derita akibat permainan dan hasutan campur tangan asing kelak.”

Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak mahu terus bersama-sama Malaysia, dan berikrar Umno akan menentang tindakan “bermain api” yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan.

Rundingan autonomi dan penyerahan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah dan Sarawak sedang berjalan melalui beberapa jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji semua hak dan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama berkaitan keselamatan. 

Sementara itu, Sultan Selangor  dalam satu temu bual dengan akhbar The Star mengingatkan supaya pemimpin politik jangan bermain api.

Jangan bermain dengan isu etnik dan agama untuk meriah populariti.

Meskipun  menghalakan kritikannya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan kenyataan bahawa kaum Bugis ialah lanun, namun jelas baginda amat prihatin betapa isu kaum dan agama ialah isu sensitif.

Sultan Selangor bertitah, baginda tidak mahu melihat ahli politik menggunakan isu sensitif seperti kaum dan agama untuk meraih keuntungan politik, kerana tindakan berkenaan akan merosakkan negara.

“Terlalu banyak isu sensitif telah dieksploitasikan untuk keuntungan peribadi,” titah baginda kepada akhbar itu.

“Isu seperti ini merebak dengan pantas di media sosial dan ini akan memecahbelahkan rakyat kita,” titah baginda lagi.

Jadi, baik isu agama, kaum, budaya atau isu hak Sabah dan Sarawak, semua pihak perlu membincangkannya dengan waras dengan kepala dingin dan bukannya dengan hati yang membara.

Jika tidak, semua kita akan terbakar nanti.

Justeru, jangan suka bermain api. – Sarawakvoice