Menjadi wakil rakyat bebas hutang, yang tidak mudah dibeli

Zaman ini, “berhutang” perkara lazim, malah mungkin tidak keterlaluan dikatakan ia menjadi “trend” untuk menyempurnakan keperluan hidup.

Ada orang berhutang atas desakan hidup dan ada yang berhutang untuk kelihatan bergaya dan berseronok.

Islam sangat mengambil berat akan urusan hutang.

Hal ini dapat difahami dengan melihat ayat yang menerangkan tatacara berhutang disebut dalam ayat yang panjangnya penuh semuka helaian al-Quran iaitu pada surah al-Baqarah: 282.

Walaupun Islam membenarkan kita berhutang, namun ia terikat dengan disiplin yang ketat agar penghutang sentiasa bertanggungjawab membayar hutang dan pada masa yang sama pemiutang tidak menzalimi penghutang dengan mengenakan riba.

Oleh kerana itu, seseorang yang berhutang perlu memastikan agar dapat membayar hutang mengikut perjanjian yang telah ditetapkan.

Akan tetapi, orang yang tidak mempunyai disiplin dan lalai menunaikan tanggungjawab ini, pasti lambat-laun akan dihantui tunggakan hutang yang semakin berat untuk dibayar.

Tambahan pemiutang juga akan menekan penghutang dari semasa ke semasa.

Oleh sebab itu, bagi seseorang yang ingin menjadi ahli politik terutamanya sebagai wakil rakyat, pegangan hutang ini sememangnya liabiliti yang perlu dikawal.

Risiko seorang wakil rakyat yang berhutang berdepan dengan tekanan kemampuan untuk membayar hutang, sehingga membuka ruang untuk menyalah guna kuasa atas kepentingan peribadi.

Salah satu cara mengelak perkara ini terjadi, pengisytiharan harta perlu dilakukan.

Dengan mengisytiharkan harta, rakyat dapat menilai kemampuan wakil rakyat dalam mengurus kewangan peribadi.

Tiada perkara yang perlu ditakuti jika pemilikan harta dilakukan secara telus dan mengikut prosedur yang betul serta jelas.

Namun, sekiranya didapati hutang sedia ada tiba-tiba dapat dilunaskan secara luar biasa, sedangkan pendapatan yang diperoleh menidakkan kemampuan tersebut.

Ini memberi justifikasi seseorang wakil rakyat berkemungkinan terlibat dengan isu rasuah?

Selain itu, wakil rakyat yang mempunyai beban hutang yang tinggi juga boleh terikat dengan kecenderungan pihak pemiutang boleh menimbulkan ketidakadilan dalam tadbir urus dan goyah untuk berpegang kepada prinsip.

Selain itu, dia juga tidak mempunyai cukup keberanian untuk menyuarakan pendapat atas prinsip disebabkan tekanan daripada pihak pemiutang.

Dalam keadaan bilangan wakil rakyat yang diperlukan untuk mencukupkan majoriti mudah membentuk kerajaan atau satu-satu keputusan, wakil rakyat yang berhutang tinggi ini terdedah menjadi duri dalam daging kepada partinya…

Oleh itu, seseorang yang bercita-cita menjadi wakil rakyat perlulah berani mengisytiharkan harta dan mengelak bebanan hutang yang tinggi dan tidak wajar. – Sarawakvoice