KUALA LUMPUR: “Janganlah rasa hanya kerana anda tok guru dan quoted (petik) ayat-ayat suci kenyataan anda hebat dan kena diikuti,” kata Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hanipa berkata demikian menjawab tulisan Hadi yang dipercayai ditujukan kepada beliau dalam isu “parti suci”.

Memetik Malaysia Dateline, Hanipa menambah, “terimalah hakikat pahit andalah punca parti anda hancur berkecai dan dihina sebegitu rupa.

Hanipa bekas AJK Pas Pusat dan terkenal sebagai individu yang kerap mengkritik Hadi dalam mesyuarat AJK Pas Pusat semasa bersama Pas dahulu.

Hanipa dalam kenyataan beliau berkata, Parti Amanah Negara (Amanah) tidak perlu ditubuhkan jika Pas di bawah Hadi tidak mesra Umno.

Hanipa mengaku ada individu menghantar respons Hadi dalam bentuk kenyataan akhbar yang menjawab pandangan beliau berkaitan “parti suci” yang dilabelkan kepada Pas.

Hanipa menyifatkan banyak tuduhan Hadi tidak betul dan menambah, “kadangkala saya rasa orang gila pun tak percaya dengan tuduhan beliau,” ujarnya merespons kenyataan Hadi itu.

Hanipa turut bertanya, “nak tanya sikitlah. Adakah hanya kerana anda berserban, berjubah, ‘bertitle’ tok guru maka anda rasa anda ada monopoli berbicara isu agama…maknanya anda sorang sahaja betul,” katanya.

Hanipa menganggap Hadi bertindak mengikuti teknik atau cara lama yang disifatkan sebagai paling tidak bertanggungjawab. – Sarawakvoice