Program Terus Rempuh lahirkan peniaga online dari golongan muda

Mohd Fakrul Adnan Shahrum, 29, dan Muhammad Shahrul Tajuddin, 22, adalah contoh dua anak muda yang memilih untuk menceburi bidang perniagaan dalam talian (online) dan meraih kejayaan.

Kalau hendak diikutkan kedua-duanya sudah mempunyai pekerjaan, Mohd Fakrul Adnan dalam bidang pengurusan sementara Muhammad Shahrul mempunyai latar belakang pemasaran.

Namun sebagai anak muda yang berani menghadapi cabaran, kedua-duanya mahu melakukan sesuatu yang boleh mencabar kemampuan diri dan keluar daripada zon selesa ‘makan gaji’.

Tekad ini yang membawa Fakrul dan Shahrul menyertai program Terus Rempuh untuk mendalami ilmu dan perniagaan online pada 2016.

Mereka berdua bukan sahaja berjaya menunjukkan kecekapan mempelajari bidang bisnes yang baru itu tetapi kini diberi kepercayaan untuk menjadi mentor memibimbing usahawan baru perniagaan online.

TERUS REMPUH UJI KEBERANIAN

Program Terus Rempuh dimulakan dua tahun lepas oleh usahawan perniagaan online, Azlina Hashin yang turut mengasaskan produk kecantikan.

Kejayaan dalam perniagaan online ini membuatkan Azlina, seorang anak peneroka Felda mahu membantu golongan muda khususnya anak dari tanah rancangan seperti dirinya.

Mereka yang dipilih menyertai program Terus Rempuh akan diberi pendedahan daripada asas menggunakan internet serta media sosial kepada selok-belok pemasaran serta pengiklanan produk sehingga bidang penghantaran dan perkhidmatan kepada pelanggan.

Bidang perniagaan online sememangnya tidak memerlukan modal yang tinggi. Apa yang perlu ialah pandai mengendalikan internet terutama laman sosial seperti ‘Facebook’, ‘Instagram’ dan ‘Whatssapp’ khusus untuk mempromosi dan menjual produk.

“Bagaimanapun untuk memastikan kita dapat bertahan dalam bisnes online ini, kita perlu terus tekun mempelajari teknik pemasaran produk dan pengiklanan.

“Semua ini diajar dalam program Terus Rempuh terutama pengiklanan dan pemasaran secara percuma. Program ini adalah percuma, tidak perlu mengeluarkan sebarang modal dan produk untuk dipasarkan pun sudah disediakan untuk mereka memulakan perniagaan.

“Ia sangat menjimatkan kerana jika mengikuti kursus pemasaran dan pengiklanan yang ditawarkan di luar, biasanya akan dikenakan bayaran hingga ratusan ringgit,” kata Mohd Fakrul Adnan yang berasal dari Taiping, Perak memberitahu Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

BANTU BELIA LUAR BANDAR

Pernah bekerja di sebuah pasar raya terkenal sebagai pengurus selama enam tahun, Mohd Fakrul Adnan turut menggunakan pengalamannya dalam bidang jualan runcit untuk perniagaan onlinenya.

Ternyata gabungan pengalaman dahulu dan yang baru diperoleh banyak membantu beliau meningkatkan lagi perniagaan dan akan dikongsi dengan peserta program yang dibimbingnya.

“Peserta yang terpilih mengikuti program ini akan disediakan tempat tinggal, kemudahan telefon dan pengangkutan secara percuma sepanjang menyertai program ini,” katanya yang sedang membimbing 14 peserta Terus Rempuh.

Kata beliau, program itu adalah terbuka kepada semua yang berminat namun keutamaan diberikan kepada belia luar bandar termasuk dari anak peneroka Felda yang tidak mempunyai kerjaya tetap tetapi ingin menceburi bidang keusahawanan.

Setiap peserta akan dipanggil untuk sesi temu duga bagi memastikan mereka yang benar-benar berminat untuk berniaga sahaja yang diambil.

“Mereka akan dilatih sepenuh masa selama tiga bulan sehingga mereka boleh berdikari memasarkan produk yang diberi dan menjana pendapatan melaluinya.

“Kita sediakan sasaran tertentu untuk mereka dan sekiranya tidak tercapai dalam tempoh tiga bulan itu sesi perbincangan akan dilakukan untuk membuat penilaian,” katanya.

Kesemua peserta yang telah dilatih ini kemudiannya akan dijadikan pembimbing untuk melahirkan lebih ramai peniaga online Terus Rempuh dengan sasaran melahirkan 30 perintis baharu di dalam program berkenaan.

UBAH TANGGAPAN

Mudah lemah semangat dan berputus asa antara penyebab ramai yang gagal ketika memulakan perniagaan. Kekurangan sokongan dan suntikan semangat daripada mereka yang berada di sekeliling membuatkan ramai peniaga mudah jatuh mengharungi onak cabaran dunia perniagaan.

Berbeza dengan Terus Rempuh, semangat berpasukan dalam menjalankan perniagaan online membantu menyuntik semangat untuk terus berusaha menghadapi cabaran dalam perniagaan.

Ini dialami sendiri Muhammad Shahrul yang sudah berpengalaman dalam bidang pemasaran.

“Kena ubah cara berfikir bila berniaga. Ramai yang berfikiran berniaga hari ini, esok dah kaya. Apa yang boleh diberikan melalui Terus Rempuh bukan bulan dan bintang tetapi bagaimana untuk meneroka dunia perniagaan dari bawah sebelum mampu mencapai bintang,” katanya yang hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk mempelajari selok belok perniagaan online ketika menyertai program Terus Rempuh.

Menggunakan pendekatan kepimpinan melalui teladan, beliau menjadikan dirinya contoh kepada peserta bimbingannya untuk berusaha mencapai sasaran bagi menjana pendapatan.

Pendapatan daripada perniagaan online yang agak lumayan adalah hasil strategi pemasaran dan pengiklanan yang berkesan.

“Kalau boleh kita mahu peserta dapat mencapai jualan lebih tinggi daripada yang saya buat. Ia tidak mustahil untuk dicapai sekiranya mengikut apa yang kita ajar.

“Apa yang penting, fokus dan tidak mudah berputus asa serta sentiasa menggali ilmu dalam mengatur strategi pemasaran yang betul,” katanya.

BANTU TINGKAT PENDAPATAN

Sementara itu, seorang daripada 14 peserta Terus Rempuh untuk sesi tahun ini, Mohd Anas Abdullah, 23, tidak menyangka dapat memperoleh pendapatan yang agak tinggi dalam tempoh sebulan menyertai program berkenaan.

Beliau yang berasal dari Jitra, Kedah sebelum ini hanya melakukan kerja kampung iaitu menyediakan perkhidmatan servis mesin rumput dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan.

Keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mempelajari dunia perniagaan online membuka lembaran baru dalam kehidupannya.

“Banyak yang ingin saya belajar lagi di dalam perniagaan online. Rasa bersyukur kerana dapat belajar secara percuma dan memulakan perniagaan tanpa modal dengan dibantu oleh pembimbing yang sentiasa memberi tunjuk ajar,” katanya .

Mohd Anas yang sememangnya minat berniaga berharap satu hari nanti akan mempunyai produk sendiri yang boleh dipasarkan dalam talian.

“Berniaga secara online lebih mudah kerana boleh berniaga pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masa sendiri. Saya rasa lebih berkeyakinan selepas menyertai program ini dan berharap dalam belajar lebih banyak lagi teknik untuk meningkatkan jualan,” katanya. – Bernama