Friday, December 2, 2022

Perjanjian Malaysia: Semangat perjuangan Abang Johari terus membara

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri terus bersemangat dan berazam tinggi dalam memperjuangkan hak Sarawak sesuai dengan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam mode menyerang dan bagai mendapat kekuatan luar biasa, Datuk Patinggi Abang Johari jelas tidak mahu diheret ke dalam debat oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang beberapa hari lalu berkata jika Abang Johari tidak bersetuju sepuluh kali dengannya, maka beliau tidak bersetuju seratus kali dengan pemimpin Sarawak itu.

Di satu majlis merasmikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching semalam, Abang Johari menyifatkan cabaran itu sebagai paloi dan kebudak-budakan.

Abang Johari berkata beliau tidak gentar demi rakyat Sarawak dalam memperjuangkan hak mereka, malah sanggup kehilangan jawatan dalam berbuat demikian.

“Saya tak takut hilang jawatan dalam memperjuangkan hak Sarawak. Ini rumah kita dan kita perlu mempertahankan rumah kita,” tegasnya.

Ketika merasmikan satu lagi mesyuarat parti di Limbang, Abang Johari berkata tidak akan gentar dengan gangguan atau kebisingan pihak tertentu dalam mendapatkan autonomi Sarawak.

“Bagaimana orang boleh kata kita tak boleh berunding. Sarawak mahu berunding kerana ia berkaitan hal negeri kita,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru